AM

MALAYSIA TEGAS PERTAHAN KEBEBASAN LAUT CHINA SELATAN - PM ANWAR

15/10/2024 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Malaysia tegas mempertahankan kebebasan Laut China Selatan mengikut Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun beliau berkata Malaysia tidak pernah menutup ruang perbincangan dengan mana-mana negara berhubung perkara itu.

“Pendekatan sentralisasi ASEAN melalui rundingan dan dialog tetapi Malaysia tidak berganjak daripada tuntutan dan pendirian kita tentang kawasan milik Malaysia.

“Sebab itu penerusan cari gali oleh Petronas termasuk kawasan Kasawari diteruskan walaupun dibangkitkan oleh negara China, kita kata kita teruskan tetapi tidak pernah menutup ruang untuk berbincang dengan mana-mana negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai strategi Malaysia untuk memanfaatkan saluran diplomasi sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam menyelesaikan isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Anwar berkata Malaysia juga akan terus menegur dan membantah, sekiranya perairan negara digunakan sebagai laluan tanpa izin.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak bersetuju apabila masalah berkaitan sempadan negara dikaitkan dengan satu negara sahaja seperti China, memandangkan isu yang sama turut dihadapi antara Malaysia dan negara jiran yang lain.

“Malaysia mempunyai isu dengan semua negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura dan Brunei...sebab itu kita kurang setuju apabila pertelingkahan sempadan ini hanya merujuk pada satu negara umpamanya China.

“...padahal kita mempunyai masalah (yang sama dengan negara lain) dan masalah ini tidak menjejaskan hubungan diplomatik, masalah ini tidak menjejaskan hubungan perdagangan dan persahabatan akrab dengan (negara) jiran-jiran kita,” kata Anwar.

Sementara itu mengenai kepengerusian ASEAN 2025, Anwar berkata buat pertama kalinya ia akan melibatkan persidangan 10 negara anggota bersama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang melibatkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Kuwait dan Oman, serta China.

“Ini hanya berlaku tahun depan, permulaan bagi ASEAN selain meneruskan perjumpaan ASEAN dengan rakan dialog seperti China, Jepun, Korea, India, Australia, New Zealand, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Selain penganjuran utama di Kuala Lumpur, beliau berkata mesyuarat peringkat pegawai ASEAN dan beberapa kunjungan turut akan diadakan di semua negeri, bagi memastikan tiada negeri yang tertinggal dalam meraikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Anwar berkata selain memberikan fokus kepada perbincangan diplomatik pada persidangan ASEAN, ia juga menjadi medan untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terbaik.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan