AM

PELEPASAN AIR DI EMPANGAN CHENDEROH TERKAWAL - TNB

15/10/2024 04:03 PM

IPOH, 15 Okt (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan pelepasan air dari Empangan Chenderoh di Kuala Kangsar dilakukan secara terkawal dan terancang.

TNB dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya mengambil maklum mengenai mesej yang sedang tular mengenai pelepasan air dari Empangan Chenderoh dan kenaikan paras air Sungai Perak.

"Untuk makluman, pelepasan air terkawal di Empangan Chenderoh perlu dilakukan bagi mengimbangi kadar kemasukan dan pelepasan air ekoran kenaikan paras air berikutan hujan berterusan di kawasan tadahan yang luas. 

"TNB bekerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pelepasan air secara terkawal dan terancang dapat dilakukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan orang ramai," kata kenyataan itu.

TNB memaklumkan pihaknya juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak lengkap yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam. 

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi TNB dengan mesej peribadi di Facebook TNB CareLine atau mesej terus ke laman X di akaun @Tenaga_Nasional.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan