EKONOMI

KERAJAAN KAJI KAD SKOR UNTUK PELABURAN BERKUALITI TINGGI - MITI

15/10/2024 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang melihat untuk mempunyai kad skor yang jelas yang tertumpu kepada pelaburan serta insentif berkualiti tinggi agar sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Baharu (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

Timbalan Menterinya Liew Chin Tong berkata usaha ini memerlukan kerjasama dengan agensi seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, MITI dan Kementerian Kewangan (MOF). 

“Syarikat yang kami beri insentif perlu menjelaskan kepada kerajaan mengenai sumbangan mereka kepada inovasi dan teknologi Malaysia,” katanya.

“Apa sahaja yang kita buat sekarang, kita perlu membina keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia. Kita mesti majukan kemampuan teknologi negara,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan SC-Bank Dunia 2024 hari ini.

Beliau berkata ukuran pelaburan berkualiti tinggi melibatkan beberapa tonggak NIA iaitu meningkatkan kekompleksan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, memperluaskan hubungan domestik, membangunkan kelompok ekonomi baharu dan sedia ada termasuk menambah baik keterangkuman serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus. (ESG).

Sementara itu, persidangan tersebut bertujuan meneroka sinergi dalam modal serta pasaran modal Islam bagi merapatkan jurang pembiayaan untuk usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan (MTC).

Pada majlis itu, SC dan Bank Dunia melancarkan laporan bersama “Penilaian Pendedahan ESG Syarikat Tersenarai Malaysia dan Cadangan Pembangunan Dasar,” yang menyediakan garis dasar mengenai amalan pelaporan ESG di Malaysia. Laporan itu menawarkan pandangan untuk syarikat dan pelabur bagi meningkatkan pelaporan kemampanan agar sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa dan untuk kekal berdaya saing.

Ia bertujuan memberi analisis terhadap keadaan semasa berkaitan pendedahan ESG dalam kalangan syarikat tersenarai dan pelabur institusi, memandangkan kepentingan ESG dan pelaburan kemampanan yang semakin meningkat di peringkat global. 

Ia juga menyediakan refleksi serta cadangan untuk penggubal dasar dalam pasaran modal Malaysia bagi menggalakkan pelaporan ESG yang lebih baik, memastikan ia kekal relevan dan konsisten di peringkat global.

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Islam SC, Sharifatul Hanizah Said Ali menekankan kepentingan mengukuhkan pendedahan ESG di tengah-tengah permintaan global yang semakin meningkat untuk pelaburan mampan.

“Laporan bersama ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memupuk pasaran modal yang lebih mampan. Amalan pendedahan ESG yang lebih baik dijangka mengukuhkan keyakinan pelabur dan memastikan pasaran kekal berdaya saing selain bersedia untuk masa hadapan,” katanya senasa ucapan alu-aluannya.

Ia menggariskan bahawa kebanyakan syarikat tersenarai Malaysia telah menunjukkan pendedahan korporat yang baik termasuk pendekatan keseluruhan yang kukuh bagi mengurus tadbir urus dan isu sosial.

Bagaimanapun, laporan itu juga menyerlahkan jurang dalam penunjuk alam sekitar tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan perubahan iklim dan biodiversiti.

“Melalui kerjasama berasaskan pengetahuan kami, kami berhasrat untuk menyokong reka bentuk serta pelaksanaan dasar yang berkesan bagi menangani jurang pembiayaan PMKS dan iklim. 

'Saya mahu memanfaatkan lagi kepakaran global Bank Dunia untuk menyokong kerajaan Malaysia, pengawal selia kewangan serta sektor swasta dalam membangunkan ekosistem pembiayaan yang lebih mantap dan berdaya tahan bagi PMKS,” kata Pengarah Negara Bank Dunia untuk Filipina, Malaysia dan Brunei, Dr Zafer Mustafaoglu.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan