AM

PENYELIDIKAN BERKAITAN PENAMBAHBAIKAN GENETIK PASTIKAN DAYA SAING HARUMANIS

15/10/2024 03:10 PM

KANGAR, 15 Okt (Bernama) -- Aspek penyelidikan dan pembangunan antara yang perlu diberikan keutamaan terutamanya berkaitan penambahbaikan genetik, pengurusan tanaman dan kawalan penyakit serta perosak dalam usaha memastikan daya saing mangga Harumanis kekal relevan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata hal itu penting untuk mengekalkan kualiti dan produktiviti buah berkenaan bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.

“Justeru, kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan petani harus diperkukuh bagi mencapai matlamat ini,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian Persidangan Mangga Harumanis Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan Mohamad dibacakan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi yang mewakili beliau merasmikan persidangan mangga Harumanis, berlangsung hari ini dan esok.

Mohamad berkata selain itu, pengaplikasian teknologi pertanian pintar menjadi keperluan kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan hasil pengeluaran tetapi juga memastikan kualiti mangga Harumanis terus berada pada tahap tertinggi.

“Saya menggesa semua pemain industri supaya sentiasa bersedia untuk beradaptasi dengan teknologi baharu dan memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh revolusi pertanian ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata penganjuran persidangan tu amat penting dalam memastikan kemampanan industri Harumanis di peringkat tempatan dan untuk dibawa ke luar negara.

“Persidangan pada hari ini bukti bahawa sektor agromakanan khususnya penanaman mangga Harumanis terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara kita. Mangga Harumanis bukan sahaja dikenali sebagai buah yang lazat dengan kualiti premium, tetapi juga telah menjadi antara sumber ekonomi yang penting bagi rakyat negeri Perlis khususnya dan kawasan sekitarnya.

“Ia juga telah dikembangkan ke Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Dengan potensi besar yang dimiliki industri ini, kita harus terus memastikan dan memanfaatkan peluang yang ada untuk mengembangkannnya lagi ke tahap yang lebih tinggi sehingga kita mampu mengeksport buah Harumanis ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kerajaan negeri Perlis, pengeluaran mangga Harumanis tahun ini adalah sebanyak 2,022 tan dengan nilai lebih RM46.5 juta melibatkan seramai 2,693 petani. 

“Ini memberikan impak yang sangat besar kepada ekonomi penduduk negeri Perlis terutamanya dalam aktiviti sampingan seperti kedai makan, inap desa dan pelancongan,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan sempena persidangan tersebut.

Kenyataan itu menyebut persidangan mangga Harumanis julung kali dianjurkan kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama KPKM yang melibatkan 501 peserta antaranya pengeluar, penyelidik dan usahawan industri asas tani.

Sebanyak 15 kertas kerja bakal dibentangkan pada persidangan itu melibatkan agensi kerajaan, penyelidikan dan swasta serta dua pembentangan daripada penyelidik Indonesia.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan