EKONOMI

INDUSTRI TAKAFUL DIGESA TERIMA KONSEP TA'AWUN TINGKATKAN KESEPADUAN SOSIAL, AGIHAN KEKAYAAN

15/10/2024 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Peserta industri takaful digesa menerima aspirasi yang ditetapkan dalam draf dedahan penggunaan Ta`awun secara meluas dalam takaful yang dikeluarkan baru-baru ini bagi meneroka model baharu untuk menggalakkan perpaduan sosial dan pengagihan kekayaan.

Ta`awun mengutamakan kewajipan etika individu dan masyarakat untuk menyokong antara satu sama lain, merangkumi nilai perpaduan dan tanggungjawab bersama.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Suhaimi Ali berkata bank pusat kekal komited untuk menyediakan persekitaran yang membolehkan industri menguji dan memperkenalkan inovasi.

Beliau berkata bagi bidang yang mungkin memerlukan kefleksibelan kawal selia, BNM mengalu-alukan minat untuk memanfaatkan ‘sandbox’ kawal selia teknologi kewangan.

“Ini membolehkan inovasi diuji dan diperhalusi, sekali gus mempercepat penyepaduan Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) dalam penyelesaian produk.

“‘Sandbox’ itu kini menggabungkan laluan hijau iaitu laluan pantas yang lebih mudah untuk institusi kewangan yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam pengurusan risiko untuk menguji penyelesaian inovatif yang menghadapi halangan kawal selia,” katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan VBIT 2024, anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Suhaimi Ali berkata bagi peserta industri yang mahu memacu persaingan pasaran yang lebih besar melalui pendigitalan, tetingkap permohonan rasmi untuk menjalankan perniagaan takaful digital akan dibuka dari 2 Jan, 2025 hingga 31 Dis, 2026.

“Berasaskan teknologi, bukan sahaja pengalaman menyeluruh pengguna mulai mendapatkan akses kepada perlindungan takaful sehingga tuntutan dan proses penyelesaian dapat ditingkatkan.

“Malah juga penyelesaian takaful digital boleh pergi jauh untuk meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap nilai perlindungan takaful, menambah kemampuan terhadap produk melalui penetapan harga yang lebih berpatutan dan mempercepat pengalaman pembelian dan tuntutan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kad Skor Maqasid Syariah (MSS), satu inisiatif transformatif yang bertujuan menilai impak dan kemampanan industri, selaras dengan objektif Maqasid al-Syariah, yang menumpukan kepada pemeliharaan iman, nyawa, kekayaan, keturunan dan daya fikir.

“Saya gembira menyaksikan usaha industri ini dalam membangunkan MSS, yang saya percaya menyokong seruan BNM untuk mencipta impak lebih baik melalui pendedahan lebih bermakna.

"Walaupun kad skor adalah alat ukuran untuk menunjukkan dan mengesahkan VBIT berdasarkan Maqasid al-Syariah, ia akhirnya bertujuan memacu perubahan positif dalam tingkah laku dan mengukur hasil yang lebih luas bagi komuniti yang berkhidmat dalam industri takaful,” katanya.

MSS tersedia kepada pengendali takaful atas permintaan MTA.

Sementara itu, Suhaimi Ali berkata pelaporan impak, yang lazimnya dibuat bagi ruang iklim dan kemampanan untuk menunjukkan cara syarikat dan institusi kewangan menyokong matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus  (ESG) yang lebih luas serta agenda matlamat pembangunan mampan (SDG), menjadi semakin penting.

“Kami menggesa industri untuk mempertimbangkan perkara yang perlu dilakukan agar MSS dapat dilaksanakan dengan berkesan, bermula dengan strategi untuk memastikan pemahaman mendalam mengenai objektif dan metodologi pengukurannya oleh setiap peserta industri,” katanya.

Tahun ini menandakan empat dekad takaful sejak penggubalan Akta Takaful 1984. Dari permulaan yang sederhana, saiz sumbangan takaful telah berkembang hampir tiga kali berbanding sedekad lepas.

Pengembangan produk takaful mikro yang disasarkan kepada kumpulan yang kurang bernasib baik telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memberikan perlindungan pada harga yang berpatutan dan boleh diakses kepada hampir 970,000 individu pada 2023.

“Kami juga gembira menyaksikan perkembangan industri yang menyokong visi Pelan Tindakan Sektor Kewangan Malaysia 2022-2026 untuk menggiatkan kewangan sosial, yang kini berfungsi dalam sektor takaful,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini, semua itu adalah fungsian dalam sektor perbankan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan