AM

KARNIVAL UDARA ANTARABANGSA MELAKA DISASAR TARIK 100,000 PENGUNJUNG

15/10/2024 03:24 PM

MELAKA, 15 Okt (Bernama) -- Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam dari 31 Okt hingga 3 Nov depan disasar menarik ketibaan kira-kira 100,000 pengunjung.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata dengan kerjasama polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan persatuan-persatuan penerbangan tempatan tahun ini, karnival itu akan menampilkan lebih banyak pameran aset selain pertunjukan udara.

“KUAM 2024 juga akan membawa kelainan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk menampilkan aset-aset yang belum pernah dipamerkan pada acara sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu Abdul Razak berkata penerbangan pertama syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines (Scoot) dijadualkan akan mendarat di LTAM pada 23 Okt ini.

Beliau berkata selain itu kapal persiaran mewah Genting Dreams Cruise dijangka berlabuh di perairan Melaka kira-kira pukul 10 pagi pada 11 Nov depan.

"Ketibaan pelancong dari laluan udara dan laut ini juga nanti bakal disambut dengan penuh kemeriahan sebagai tanda penghargaan dan usaha ini dilihat dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan