AM

MENTERI KABINET SAMBUT BAIK PINDAAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN BERHUBUNG KEWARGANEGARAAN

18/10/2024 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini disifatkan satu detik bersejarah buat negara, selepas menerima sokongan lebih dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.

Kejayaan itu disambut baik Ahli Kabinet yang membuat hantaran menerusi media sosial.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat atas komitmen dan dedikasi mereka dalam melaksanakan segala libat urus, kajian dan kertas kerja berkaitan agar pindaan ini dapat memberi manfaat terbaik kepada rakyat Malaysia.

“Terima kasih juga kepada rakan seperjuangan di dalam Dewan Rakyat yang telah meletakkan kepercayaan kepada saya dan team (pasukan) KDN (Kementerian Dalam Negeri) untuk melaksanakan pindaan ini,” katanya dalam catatan di akaun media sosialnya.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Turut menyuarakan pandangan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Saidyang menyifatkan kelulusan pindaan itu sebagai satu kejayaan buat ibu warganegara Malaysia.

“Terima kepada mereka yang konsisten dalam memperjuangkan hal ini. Alhamdulillah!,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pula menyifatkannya sebagai kemenangan bersejarah buat wanita Malaysia apabila Parlimen mengundi untuk memberikan hak yang setara kepada wanita dan lelaki.

“Anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia kini akan mendapat kewarganegaraan secara automatik,” katanya.

Sentimen sama turut dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan