AM

LAWATAN KE BRUNEI: HUBUNGAN ERAT SULTAN IBRAHIM, SULTAN HASSANAL BOLKIAH BERTAMBAH KUKUH

15/10/2024 03:33 PM

Daripada Haslinda Zainal

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt (Bernama) -- Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Brunei yang berakhir hari ini, menyaksikan pertalian erat yang sekian lama terjalin antara dua ketua negara bertambah utuh.

Brunei menjadi negara ketiga dikunjungi Seri Paduka Baginda untuk lawatan negara selepas Singapura dan China, malah lawatan pertama ke negara ini setelah Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Julai, adalah bagi memenuhi persilaan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Hubungan mesra dan rapat antara Sultan Ibrahim dan Sultan Hassanal Bolkiah tidak dapat disangkal lagi dan ia terserlah apabila Sultan Brunei berkenan memandu sendiri kenderaan khas membawa Sultan Ibrahim dari hotel penginapan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk berangkat pulang ke tanah air, pagi tadi.

Atas dasar keakraban itu juga, Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan berangkat ke istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda walaupun pada minggu berkenaan Brunei meraikan Hari Keputeraan Sultan Brunei yang ke-78 pada 15 Julai.

Seri Paduka Baginda menerusi hantaran dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah hubungan akrab Diraja Malaysia dan Brunei itu bukan sahaja unik, tetapi turut kekal teguh di bawah rumpun Melayu serta Islam.

Jika diimbas kembali, hubungan antara Johor dan Brunei sememangnya akrab terjalin dari zaman Almarhum Sultan Sir Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim Al-Mahsyur sejak 1960 lagi, dan hubungan erat itu diteruskan hingga kini.

Justeru, hubungan Institusi Diraja Malaysia dan Brunei yang terjalin lama menjadi wadah penting dalam memperkukuh persahabatan serta diplomatik antara kedua-dua negara, menurut hantaran Facebook itu.

Persahabatan itu juga diserikan dengan lawatan rasmi Raja daripada kedua-dua negara dan keakraban ini juga mencerminkan hubungan baik pada peringkat kerajaan, ekonomi dan rakyat.

Sultan Ibrahim bertitah pertalian erat kedua-dua negara yang cukup bersejarah itu, diyakini akan terus menguatkan rangkaian kerjasama Malaysia-Brunei dalam pelbagai bidang demi kepentingan bersama.

Seri Paduka Baginda turut mendoakan hubungan persahabatan serta persaudaraan Malaysia-Brunei yang terjalin lebih 40 tahun akan terus diperkukuh.

Sultan Ibrahim dalam pada itu, menzahirkan penghargaan atas perkenan Sultan Brunei menerima kunjungan Seri Paduka Baginda berdua, serta sambutan mesra yang diberikan sepanjang lawatan tiga hari ke negara itu.

Berangkat sama dalam lawatan negara itu ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Memulakan lawatan pada Ahad, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan meluangkan masa bertemu rakyat Malaysia di Brunei dalam Majlis Santap Petang.

Ternyata rakyat Malaysia yang rata-ratanya bekerja dalam bidang profesional seperti perubatan, pendidikan dan ahli perniagaan serta penuntut, teruja atas keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua dan tidak melepaskan peluang ‘mencuba nasib’ berswafoto dengan keluarga Diraja itu.

Acara kemuncak lawatan ialah istiadat sambutan negara di Istana Nurul Iman berkeluasan 200,000 meter persegi, tempat persemayaman rasmi Sultan Brunei yang mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai istana terbesar di dunia dalam Guinness Book of Records.

Pada sebelah malam, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha meraikan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada Majlis Santapan Negara di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman.

Terdahulu, Raja Zarith Sofiah turut mencemar duli melawat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Kampus Gadong di sini dan menyempurnakan pelancaran Sudut Buku Malaysia, yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia.

Raja Permaisuri Agong amat aktif dalam dunia keintelektualan dan Seri Paduka Baginda juga merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda berdua dalam lawatan negara itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta pegawai-pegawai kanan Istana Negara, kementerian dan agensi berkaitan. 

Brunei merupakan rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan berjumlah RM9.31 bilion pada 2023.

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM5.48 bilion.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan