AM

SISTEM PENGALIRAN TERSUMBAT PUNCA TANAH RUNTUH DI TAMAN MELAWATI - NANTA

15/10/2024 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kegagalan sistem pengaliran longkang di Jalan G2, Taman Melawati yang tersumbat dikenal pasti sebagai punca kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan pagi tadi. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau telah mengarahkan Pasukan Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mendapatkan gambaran terperinci situasi kawasan tanah runtuh di Taman Melawati itu.

Beliau berkata insiden di Jalan E6 dan Jalan G2 taman tersebut yang berlaku pada 10.15 pagi tadi, telah dimaklumkan kepadanya oleh pasukan JKR.

"Sebanyak empat rumah dan sebuah kereta dikenal pasti terkesan akibat kejadian gelinciran tanah ini. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nanta berkata pihak CKC JKR telah mengeluarkan amaran tahap bahaya kepada JKR Daerah Gombak serta Hulu Langat pada 4.37 petang semalam bagi mengambil langkah berjaga-jaga dan amaran itu juga dipanjangkan kepada wakil Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Nanta turut meminta semua penduduk di kawasan terjejas untuk mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam mengarahkan penghuni 20 rumah di Taman Melawati untuk mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di kawasan berhampiran, akibat hujan lebat pagi tadi.

Kesemua penduduk yang terkesan dengan kejadian itu diarahkan berpindah ke Dewan Serbaguna Jalan E5 Taman Melawati buat masa ini. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan