AM

PERKHIDMATAN LRT LALUAN KELANA JAYA PULIH SEPENUHNYA PADA 3.30 PETANG

15/10/2024 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya di antara Stesen Wangsa Maju dan Stesen Gombak, kembali beroperasi sepenuhnya pada pukul 3.30 petang hari ini setelah kerja-kerja baik pulih selesai dijalankan, menurut Rapid Rail Sdn Bhd.

Pengendali perkhidmatan rel Rapid KL itu dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan terdapat gangguan perkhidmatan berpunca daripada aliran air hujan luar biasa di kawasan sekitar yang telah memasuki landasan, sehingga menyebabkan kerosakan beberapa komponen trek, pada pukul 10.20 pagi.

Menurut kenyataan itu kejadian itu memaksa pihak operasi menghentikan bekalan kuasa di kawasan terlibat, bagi membolehkan pemeriksaan serta kerja baik pulih dilakukan.

“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail telah berjaya menyelesaikan kerja-kerja baik pulih sementara komponen landasan. Ujian terhadap sistem dan komponen landasan turut dijalankan bagi memastikan perkhidmatan dapat disambung dengan selamat mengikut piawaian keselamatan.

“Bagaimanapun, pasukan kejuruteraan dan operasi akan terus memantau kestabilan sistem bagi memastikan kelancaran operasi tren,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail mengucapkan terima kasih kepada para penumpang atas kesabaran mereka sepanjang gangguan perkhidmatan ini.

Beberapa jalan di Kuala Lumpur dinaiki air susulan hujan lebat berterusan yang bermula sejak kira-kira pukul 9 pagi tadi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan