AM

JASNS KESAN PEMBUANGAN HARAM SISA KIMIA DI BUKIT PELANDUK, PORT DICKSON

15/10/2024 04:52 PM

PORT DICKSON, 15 Okt (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) mengesan kes pembuangan haram sisa kimia dipercayai sisa cat dan minyak di kawasan Bukit Pelanduk, Port Dickson.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan S.Veerapan berkata JASNS menemukan lebih kurang 100 tong berkapasiti 210 liter cat terpakai dan 50 tangki IBC berkapasiti 1000 liter mengandungi minyak di kawasan itu.

“JASNS menerima aduan orang awam berkenaan perkara itu semalam melalui aplikasi WhatsApps. Bertindak atas maklumat berkenaan, unit siasatan JASNS segera bergerak ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

“Kawasan pembuangan itu terletak jauh daripada pandangan umum, terlindung di sebalik dinding yang menghalangnya dilihat dari arah jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati tiada label yang terdapat pada bekas-bekas itu, dipercayai telah ditanggalkan bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

JASNS membuat persampelan kandungan sisa bahan kimia itu untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia secara lebih terperinci, tambah beliau.

“Laporan polis turut dibuat bagi tujuan pemberitahuan dan pemantauan pihak berkuasa. JASNS seterusnya akan menjalankan carian pemilik tanah melalui Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson untuk membantu dalam siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata tindakan perundangan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap pihak terlibat dalam aktiviti pencemaran ini.

JASNS menyeru orang awam agar memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sisa haram bagi membanteras amalan tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan