EKONOMI

PASARAN KERETA MALAYSIA PAMER ANJAKAN KUKUH KE ARAH EV - ERNST & YOUNG

15/10/2024 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pasaran kereta Malaysia kini menyaksikan peralihan minat secara beransur-ansur ke arah kenderaan elektrik (EV), menurut Indeks Pengguna Mobiliti Global EY Ernst & Young (EY) tahunan kelima.

EY dalam satu kenyataan hari ini berkata indeks itu mendedahkan 25 peratus rakyat Malaysia berminat untuk membeli EV walaupun permintaan global perlahan, dipacu oleh kenaikan kos bahan api dan pertimbangan alam sekitar.

Laporan itu meninjau sebanyak 19,000 responden dari 28 negara termasuk Malaysia.

“Hampir 40 peratus rakyat Malaysia berkata mereka lebih suka membeli enjin pembakaran dalaman diikuti kereta hibrid (20 peratus).

“Untuk membuka kunci fasa pertumbuhan seterusnya bagi kenderaan EV penuh, jenama kereta perlu menarik perhatian pengguna yang lebih muda, lebih peka terhadap kos dan bermotivasi untuk membuat pertukaran berikutan peningkatan kos bahan bakar (43 peratus), kesan alam sekitar (35 peratus) dan pelbagai pilihan EV yang ditawarkan (27 peratus),” kata EY.

Syarikat jaminan, cukai, transaksi dan khidmat nasihat itu berkata walaupun insentif kerajaan disasarkan untuk mengembangkan pasaran EV, dengan sasaran 15 peratus daripada jualan kereta baharu ialah EV menjelang 2030, pengguna Malaysia tetap memilih berhati-hati.

Pengguna sedang mempertimbangkan faktor seperti nilai jualan semula EV (57 peratus), akses kepada tenaga boleh baharu untuk mengecas EV mereka (51 peratus) dan perbelanjaan penyelenggaraan bateri yang berterusan (41 peratus).

Ketua Pengalaman Pelanggan Tenaga EY Asia Pasifik Mark Bennett berkata tinjauan itu menunjukkan perjalanan yang masih panjang bagi menangani isu sekitar infrastruktur, julat dan kos penggantian bateri.

“Sebilangan besar pengguna masih ragu-ragu tentang EV, terutamanya mengenai infrastruktur dan kos pemilikan.

“Ini bukanlah kebimbangan baharu. Perlu ada usaha yang berterusan menerusi seluruh ekosistem bagi menangani kebimbangan ini, jika tidak, kita berisiko mengecewakan pengguna terhadap EV pada waktu mereka seharusnya lebih teruja mengenainya,” katanya.

Laporan tersebut juga menggariskan peranan kritikal infrastruktur pengecasan dalam membina keyakinan pengguna untuk beralih kepada EV, dengan 27 peratus pembeli berpotensi menyebut jumlah pengecasan yang tidak mencukupi sebagai penghalang.

Kebimbangan mengenai infrastruktur pengecasan awam termasuk mencari pengecas (61 peratus), masa menunggu yang lama (53 peratus) dan kos penggunaan pengecas awam (38 peratus).

“Oleh itu, ramai pemilik EV lebih suka mengecas di rumah (68 peratus) dan bagi mereka yang boleh, pengalaman itu lebih positif (77 peratus kepuasan) dengan kelajuan pengecasan (79 peratus), kos pemasangan (72 peratus) serta insentif dan rebat (55 peratus) sebagai pertimbangan penting,” kata EY.

Bennett juga berkata walaupun China mendahului dunia dalam pengeluaran EV, permintaan, infrastruktur, dan persepsi jenama juga masih menjadi cabaran.

“Kesanggupan dan teknologi yang mendorong industri EV di China boleh dikatakan sebagai penanda aras global. Namun, bagi banyak pembeli EV antarabangsa, keputusan pembelian mereka dipengaruhi lebih daripada sekadar harga.

“Ia juga dipengaruhi oleh jenama, perkhidmatan, kualiti, dan harga susut nilai,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan