AM

UPACARA MEMPERINGATI PENGORBANAN ANAK KAPAL ZHEMCHUG LEBIH ISTIMEWA DENGAN KEHADIRAN ARMADA LAUT RUSIA

15/10/2024 10:05 PM

GEORGE TOWN, 15 Okt (Bernama) -- Upacara memperingati ulang tahun ke-110 insiden tragis tenggelamnya kapal perang Zhemchug dalam Pertempuran Pulau Pinang ketika Perang Dunia Pertama lebih istimewa tahun ini dengan kehadiran wakil Armada Pasifik Tentera Laut Rusia bagi memberi penghormatan kepada anak kapal yang gugur.

Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov berkata majlis ini diadakan di Tanah Perkuburan Western Road di sini setiap tahun namun pada tahun ini agak istimewa kerana kapal tentera laut Rusia dapat memasuki Pelabuhan Pulau Pinang untuk menyertai upacara itu selepas lebih 20 tahun.

"Kapal ini karam 110 tahun lepas dan ia sebahagian daripada unit sekutu kapal-kapal dari Britain, Perancis serta negara lain yang ditugaskan melindungi laluan perdagangan antarabangsa dan insiden ini mengorbankan 88 pelaut Rusia manakala 112 lagi cedera.

“Lebih ramai anak kapal mungkin terkorban namun nelayan Pulau Pinang ketika itu melakukan operasi yang telah menyelamatkan banyak nyawa dengan membawa mereka yang tercedera ke hospital. Kami amat berterima kasih kepada mereka dan upacara ini bukan sahaja bagi memperingati pelaut kami yang gugur tetapi juga hubungan erat antara kedua-dua negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pertempuran Pulau Pinang tercetus lewat malam 28 Okt 1914 apabila kapal berkelajuan tinggi Jerman SMS Emden yang berada pada jarak amat dekat dengan Zhemchug melancarkan serangan torpedo demi torpedo yang mengenai kapal Rusia itu.

Dalam tempoh beberapa minit, Zhemchug hilang di bawah air menyebabkan 82 anak kapal Rusia terkorban dan 112 lagi cedera. Kebanyakan mayat mereka disemadikan di Tanah Perkuburan Western Road di sini manakala yang lain di Pulau Jerejak.

Pada masa hadapan, Latypov berharap Rusia dan Malaysia akan terus menjalinkan hubungan yang kukuh terutama selepas pertemuan Presiden Vladimir Putin dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Forum Ekonomi Timur kesembilan bulan lepas.

"Mereka mengadakan perbincangan yang sangat produktif mengenai peningkatan hubungan dua hala dalam bidang ekonomi, pendidikan tinggi dan pertukaran budaya," katanya.

Timbalan Panglima Wilayah Laut 3 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kepten Yusman Darmawan pula berkata majlis ini bukan sekadar mengingati detik kehilangan tetapi juga menghormati keberanian, pengorbanan dan semangat berterusan 88 pelaut Rusia yang sanggup mengorbankan nyawa demi negara mereka.

Beliau berkata kehadiran empat kapal perang Armada Pasifik Rusia adalah bukti persahabatan serta rasa hormat yang telah berkembang selama bertahun-tahun antara TLDM dan Tentera Laut Rusia.

"Hubungan ini dibina berdasarkan komitmen bersama untuk mengekalkan keamanan, memelihara keselamatan maritim dan paling penting, menghormati pengorbanan mereka yang mendahului kita," katanya.

Armada Pasifik Tentera Laut Rusia itu, yang terdiri daripada kapal korvet iaitu Gromkiy, Rezkiy serta Aldar Tsydenzhapov dan kapal sokongan Pecheng, telah berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham semalam.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan