EKONOMI

PORTAL BERITA BERNAMABIZ DILANCAR HARI INI

15/10/2024 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Portal ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), BERNAMABiz, dilancarkan hari ini, menawarkan portal berita khusus yang menyediakan informasi komprehensif dan pada masa nyata mengenai landskap perniagaan dan ekonomi yang berkembang pesat, di peringkat tempatan dan global.

Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj berkata portal berita itu akan memenuhi keperluan pembaca dalam pelbagai sektor, termasuk minyak dan gas, penerbangan, ekonomi digital, komoditi, automotif, pasaran modal, ringgit, teknologi, telekomunikasi dan banyak lagi.

“BERNAMABiz dirangka untuk menghubungkan, memaklumkan dan memberi inspirasi kepada usahawan dan peneraju industri, sekali gus memperkukuh komitmen kami dalam memacu komuniti perniagaan yang berdaya maju di Malaysia.

“Dengan pelancaran platform Bernama Business, kami menyasarkan untuk menjadi sumber utama bagi berita perniagaan yang menyeluruh, membantu pembaca kami mendepani cabaran dan peluang dalam pasaran hari ini,” katanya.

Portal ini boleh diakses di https://www.bernamabiz.com/

Selain itu, terdapat juga segmen baharu, CAREBiz, yang menampilkan kisah-kisah kejayaan dan yang memberi inspirasi daripada komuniti yang kurang bernasib baik dan perniagaan persendirian.

Arul Rajoo berkata CAREBiz merupakan segmen khusus yang memberi tumpuan kepada amalan perniagaan mampan, memperkasakan syarikat untuk berkembang maju selain mengutamakan tanggungjawab sosial.

“Segmen CAREBiz di laman web baharu kami menggariskan komitmen Bernama dalam menggalakkan ekosistem perniagaan yang menghargai kemampanan dan impak komuniti, sejajar dengan keperluan perusahaan moden yang berubah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz berkata pelancaran BERNAMABiz mencerminkan komitmennya untuk memacu wacana ekonomi Malaysia, sejajar dengan konsep Ekonomi MADANI yang diperkenalkan kerajaan.

“Inisiatif ini mengetengahkan hasrat kami untuk mempromosikan model ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya tahan, memastikan pembaca kami sentiasa mendapat maklumat mengenai perkembangan penting selaras dengan matlamat negara untuk pertumbuhan yang saksama.

“Platform kami yang dipertingkatkan ini menawarkan analisis dan laporan mengenai sektor-sektor utama, membantu perniagaan dan penggubal dasar menghadapi landskap yang dinamik, selaras dengan visi MADANI untuk ekonomi yang makmur dan adil,” katanya.

Berita di laman web itu juga boleh dibaca di platform media sosial X Perkhidmatan Berita Ekonomi -- BernamaBiz. 

Sebarang maklum balas, pertanyaan atau idea boleh dikemukakan melalui e-mel kepada Perkhidmatan Berita Ekonomi di besbernama@gmail.com.

-- BERNAMA  

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan