JENAYAH & MAHKAMAH

JIM TIDAK KOMPROMI PEGAWAI LAKUKAN KEKERASAN TERHADAP TAHANAN

16/10/2024 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa dan kekerasan oleh mana-mana pegawainya.

Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata jabatan itu sentiasa mematuhi ketetapan standard piawaian antarabangsa seperti Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi layanan terhadap Tahanan (Peraturan Nelson Mandela) dan Jawatan Kuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) - Penjagaan Kesihatan Dalam Tahanan, dalam pengurusan depotnya.

Beliau berkata JIM juga mempunyai Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen yang perlu dipatuhi.

"Merujuk kepada kenyataan media oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai insiden tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) Perak pada 1 Feb lepas, JIM mengambil maklum dan memandang serius terhadap penemuan hasil siasatan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata jabatan berkenaan sedang menunggu laporan penuh daripada EAIC berkaitan hasil siasatan bagi tindakan lanjut.

"Sekiranya terdapat unsur kekerasan dan penderaan, JIM akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Sementara itu, EAIC dalam kenyataan berasingan hari ini memaklumkan siasatan pihaknya terhadap insiden tersebut mendapati ia berpunca daripada kekerasan dan penderaan yang dilakukan terhadap tahanan etnik Rohingya sejak 2020 hingga 2021.

Menurut kenyataan itu kekerasan dan penderaan tersebut berlaku ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen termasuk di Bidor, Perak.

"Beberapa pegawai JIM di DISB termasuk dua pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum ditukarkan ke DISB, didapati telah melakukan kekerasan melampau serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya hingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka," menurut kenyataan itu yang memgesyorkan syor hukuman terhadap pegawai yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM.

Menurut kenyataan itu lagi punca lain insiden tersebut ialah pegawai JIM dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas tidak peka terhadap keadaan sekeliling sebelum insiden berlaku selain infrastruktur yang tidak memenuhi standard diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan