AM

KOPERASI SEDIAKAN KHIDMAT KEWANGAN BERPATUTAN, IKUT PERATURAN - ANGKASA

15/10/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Koperasi di Malaysia memainkan peranan besar dalam membantu meningkatkan taraf hidup penjawat awam dengan menyediakan perkhidmatan kewangan yang berpatutan, kata  Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Beliau berkata organisasi itu kekal komited untuk memastikan koperasi mematuhi peraturan ditetapkan dan pada masa sama kekal menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia.

“Koperasi di Malaysia sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan, termasuk had potongan gaji maksimum 60 peratus daripada gaji bulanan penjawat awam. Peraturan ini diwujudkan bagi memastikan peminjam mampu membayar balik pinjaman tanpa menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

“Angkasa juga memastikan pembayaran balik pinjaman koperasi dibuat melalui Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA), yang memastikan pembayaran dijalankan secara automatik dan konsisten. Sistem ini memudahkan penjawat awam mengurus pembayaran pinjaman mereka dengan lebih tersusun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sistem pembiayaan melalui koperasi telah lama wujud di Malaysia dan berperanan sebagai mekanisme penting untuk membantu penjawat awam dan anggota koperasi mendapatkan akses kepada pembiayaan berpatutan dengan kadar faedah yang lebih kompetitif.

Selain itu, Abdul Fattah berkata sebagai langkah menambah baik proses penilaian kredit, Angkasa juga telah membangunkan platform SPeKAR yang menyediakan maklumat komprehensif mengenai kredit individu.

Beliau berkata data tersebut merangkumi maklumat potongan gaji, Maklumat Kredit Bank (CCRIS), status litigasi, status muflis (Insolvensi), dan maklumat lain yang relevan.

“Koperasi sentiasa mematuhi garis panduan yang ketat dan mengutamakan kesejahteraan anggotanya. Koperasi menyediakan perkhidmatan kewangan dikawal selia, memastikan peminjam mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman tanpa melampaui had ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah berkongsi MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) bersama UBB Amanah Berhad memeterai perjanjian strategik bagi memasarkan produk Amanah Tunai Patuh Syariah (Amanah Liawm Mumtir) yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Beliau berkata produk itu diinovasikan khusus untuk masyarakat Islam di Malaysia bagi menawarkan instrumen perancangan legasi menangani masalah pengurusan harta pusaka.

“MAAB dan UBB Amanah Berhad mensasarkan nilai akaun amanah tunai sebanyak RM200 juta dapat dicapai untuk tempoh setahun pertama perjanjian ini dimeterai,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan