AM

ENAM KES PENCEROBOHAN DIREKODKAN DI TAMAN NEGARA TERENGGANU

16/10/2024 11:53 AM

KUALA BERANG, 16 Okt (Bernama) -- Sebanyak enam kes pencerobohan termasuk membabitkan warga asing direkodkan di Taman Negara Terengganu sejak enam tahun lepas.

Penguasa Taman Negara Terengganu Sharena Sapri berkata 13 individu termasuk warga Kemboja dan Vietnam ditangkap dan kes terbaharu melibatkan seorang warga Kemboja awal tahun ini.

Beliau berkata lelaki berusia 60 tahun yang dipercayai sudah sebulan beroperasi di taman negara itu telah didakwa dan dipenjara empat tahun di bawah Enakmen Taman Negara Terengganu 1939.

“Lapan tangkapan melibatkan warga asing manakala lima lagi orang tempatan.

“Berkemungkinan besar warga asing berkenaan masuk ke negara ini sebagai pelancong dan menceroboh taman negara untuk memburu hidupan liar selain mendapatkan kayu gaharu yang bernilai tinggi di pasaran," katanya ketika ditemui di Taman Negara Terengganu.

Sherena berkata pihaknya mengesyaki ada tali barut dalam kalangan orang tempatan yang membawa masuk penceroboh dan menjadi orang tengah dengan membekalkan makanan kepada warga asing itu.

“Kami akan menjalankan siasatan serta pemantauan lanjut untuk mengekang aktiviti yang merugikan negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberikan amaran tegas dan mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan tersebut yang boleh didenda RM1 juta dan penjara tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan sebatan mengikut Enakmen Taman Negara Terengganu 1939.

Beliau berkata tugas penguatkuasaan dan pemantauan di Taman Negara Terengganu seluas 1,030.8 kilometer persegi dijalankan oleh 18 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan bantuan 42 renjer komuniti.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan