AM

TIGA NELAYAN DIKHUATIRI HILANG DI PERAIRAN KEMAMAN

16/10/2024 09:27 PM

CHUKAI, 16 Okt (Bernama) -- Tiga nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kemaman selepas keluar menangkap ikan Ahad lepas.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Ariffin Ghazali berkata pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kemaman telah menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 2.15 petang tadi.

Sehubungan itu, satu Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) oleh Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan telah diaktifkan dan digerakkan pada 2.50 petang.

"Sekitar 2.15 petang tadi, kami menerima laporan mengenai sebuah bot nelayan tempatan jenis A telah keluar ke laut 13 Okt lepas dan masih belum pulang sehingga hari ini.

"Mengikut laporan, kebiasaannya nelayan itu hanya mengambil masa dua hari di laut. Tetapi sehingga kini mereka masih belum pulang dan usaha menghubungi mereka juga gagal," katanya dalam kenyataan hari ini.            

Ariffin berkata pencarian awal sedang dijalankan di sekitar kawasan 30 batu nautika di perairan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot yang hilang.

Ini kerana APMM tidak mendapat maklumat tepat mengenai kedudukan terakhir bot terbabit.

"Pihak APMM meminta komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan melaporkan segera kepada pihak berkuasa. Pihak kami juga akan memaklumkan perkembangan terkini pencarian mangsa dari masa ke masa," katanya.            

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan dalam kenyataan berasingan berkata tiga mangsa itu ialah pemilik bot Mokhtar Yusoff, 69, yang beralamat di Kampung Fikri, Kemaman dan anaknya Mohd Syukri, 46, beralamat di Kampung Syed Mohsein, Kuala Kemaman. 

Turut hilang ialah adik kepada Mokhtar iaitu Mohd Nasir, 46, dari Kampung Paya Berenjut di daerah sama. 

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.44 petang tadi.

“Mangsa kali terakhir dilaporkan dilihat pada pukul 3 petang Ahad lepas ketika menaiki bot nelayan dengan nombor pendaftaran TRF 798. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkannya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di talian 09-8592222,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan