EKONOMI

PERTUMBUHAN HUTANG KERAJAAN PERSEKUTUAN DIJANGKA TURUN KEPADA 7.5 PERATUS PADA 2024

16/10/2024 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Trend pertumbuhan hutang kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurang kepada sekitar 7.5 peratus mengakhiri 2024 berbanding 8.6 peratus pada 2023 dan 10.2 peratus pada 2022, kata Kementerian Kewangan.

Penurunan itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan nisbah hutang kepada anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tidak melebihi 60 peratus dapat dicapai dalam tempoh jangka sederhana seperti yang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).

Sehingga akhir Jun 2024, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.22 trillion.

"Pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM112.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 adalah lebih rendah berbanding RM128 bilion bagi tempoh sama pada 2023,” kata Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkenaan langkah-langkah kerajaan untuk membayar hutang dan strategi mengurangkannya pada tahun-tahun akan datang.

Menurut kementerian itu, beberapa langkah kawalan telah dan akan dilaksanakan untuk mengurangkan paras hutang termasuk pelaksanaan konsolidasi fiskal bagi memastikan pinjaman baharu lebih rendah, memperluas asas hasil, pelaksanaan subsidi diesel bersasar dan penilaian semula pelaksanaan serta pembiayaan projek mega bagi memastikan keberkesanan dan kelestarian ekonomi.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan