AM

TIADA HAIWAN DI ZOO NEGARA TERJEJAS AKIBAT BANJIR

17/10/2024 02:08 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Tiada haiwan di Zoo Negara terjejas banjir akibat hujan lebat pada Selasa lepas.

Timbalan Presiden Zoo Negara Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan pada hari sama kejadian dan premis berkenaan beroperasi seperti biasa mulai semalam.

“Pada hari kejadian, air mula naik sekitar 9.30 pagi di hampir semua kawasan zoo kecuali kawasan yang lebih tinggi seperti Pusat Konservasi Giant Panda sebelum mula surut kira-kira 11 pagi.

“Kerja-kerja pembersihan kemudian mula dilakukan oleh petugas Zoo Negara termasuk di kawasan pameran haiwan oleh penjaga haiwan di setiap seksyen yang terlibat,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Rosly berkata pihak bomba yang hadir bagi memantau keadaan semasa di Zoo Negara turut membantu membersihkan kawasan jalan di kawasan awam.

“Walaupun banjir melanda, tiada haiwan yang terjejas secara langsung dan tiada haiwan yang terlepas akibat banjir itu. Penjagaan dan pengawasan terhadap haiwan masih dikendalikan dengan baik oleh pihak Zoo Negara,” katanya.

Selasa lepas, hujan lebat bermula sekitar 8.30 pagi dan berterusan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air ekoran limpahan sungai-sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan