AM

TIADA KEPERLUAN MENDESAK PINDA AKTA IBU KOTA PERSEKUTUAN 1960 - MBWP

17/10/2024 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) berpandangan bahawa tiada keperluan yang mendesak untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

MBWP dalam kenyataan hari ini memaklumkan kepimpinan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) wajar diberikan ruang menjayakan reformasi institusi yang sedang berjalan demi kemaslahatan warga ibu kota.

“Sekiranya perlu, sebarang pindaan melibatkan akta itu wajar diteliti secara bersama oleh semua pihak berkepentingan dengan menekankan aspek kelompongan polisi dan dasar utama dalam memandu hala tuju pembangunan lebih 500,000 warga belia di Wilayah Persekutuan.

“MBWP mengambil maklum gesaan beberapa pihak untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 agar diwujudkan Ahli Majlis secara lantikan bagi pentadbiran DBKL,” menurut kenyataan itu.

Dalam hal ini, MBWP menaruh sepenuh keyakinan kepada usaha dan inisiatif pembangunan yang telah digerakkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif. 

Ini termasuk dalam usaha mempertingkatkan kecekapan pengurusan bandaraya Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara yang progresif dengan pendekatan pembangunan berteraskan komuniti dan menjadi bandar model yang mengangkat kelestarian alam. 

Sebelum ini, Naib Presiden DAP Teresa Kok dalam sidang media sempena Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 mencadangkan pindaan akta itu bagi membolehkan Ahli Majlis dilantik sama seperti dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara.

Dalam pada itu, MBWP turut merakamkan penghargaan kepada DBKL atas tindakan pantas dan efisien dalam menangani isu banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut MBWP, kecekapan DBKL dalam melaksanakan langkah-langkah mitigasi termasuk penyelenggaraan sistem perparitan dan pengaktifan segera pasukan respons kecemasan berjaya mengurangkan impak banjir. 

“MBWP juga ingin menyatakan kesediaan penuh untuk bekerjasama dengan semua pihak, baik agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam usaha menangani risiko bencana alam yang dibawa oleh musim tengkujuh.

“MBWP komited untuk memainkan peranan aktif dalam menggerakkan kesedaran awam serta membantu penyelarasan bantuan kecemasan,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan