AM

CADANGAN SEMAKAN YURAN, IJN SAMBUT BAIK PERBINCANGAN BERSAMA KKM

17/10/2024 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Institut Jantung Negera (IJN) menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengadakan perbincangan konstruktif berhubung cadangan semakan yuran bagi pesakit yang dirujuk oleh KKM.

Dalam kenyataan hari ini, IJN menyatakan penghargaannya terhadap kesediaan kementerian untuk membincangkan perkara penting itu, yang akan memberi kesan kepada kesejahteran ribuan pesakit jantung di Malaysia.

“Kami yakin bahawa hasil perbincangan dengan KKM itu akan memberi manfaat bersama dalam menjaga kemampuan orang awam untuk mengakses perkhidmatan kami dan pada masa sama membolehkan kami menampung kos yang meningkat sekali gus menambah baik kualiti penjagaan kepada pesakit.

“Keutamaan IJN ialah kesihatan dan kebajikan pesakit jantung di Malaysia dan kami komited untuk terus bekerjasama dengan KKM bagi memastikan mereka terus menerima penjagaan terbaik pada kos yang berpatutan serta munasabah,” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin lepas, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata KKM akan mengadakan perbincangan bersama IJN untuk memperhalusi permohonan menaikkan kadar yuran antara 10 hingga 40 peratus. 

Menurut IJN cadangan untuk menaikkan yuran itu disebabkan kos operasi yang meningkat selain struktur bayaran ketika ini tidak pernah berubah sejak 2003.

“Semakan ini penting untuk memastikan IJN terus memberikan rawatan jantung yang berkualiti dan mampu dibiayai, pada masa sama memenuhi permintaan yang semakin berkembang untuk perkhidmatan perubatan yang maju. 

“Matlamat kami adalah untuk mencapai keseimbangan antara mengekalkan kos yang efisien dan meneruskan misi yang sekian lama dipertahankan iaitu berkhidmat kepada rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.  

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan