AM

ALAM FLORA PERKENAL JENTERA, SERAGAM DAN APLIKASI BAHARU

17/10/2024 02:51 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) kini berwajah baharu apabila terus mempertingkatkan standard perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan profesionalime di Malaysia melalui pengenalan jentera, seragam serta aplikasi baharu ‘Super-App’ ‘Recyclink’. 

Anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) itu hari ini memperkenalkan tiga inisiatif baharu sebagai usaha meningkatkan lagi kecekapan operasi, keselamatan, penerapan teknologi terkini dan amalan lestari dalam perkhidmatannya. 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Badrulhisyam Fauzi berkata tiga inisiatif baharu itu akan meningkatkan kecekapan operasi Alam Flora sekali gus mempromosikan kelestarian alam sekitar dalam setiap aspek operasi.

Beliau berkata Alam Flora memperuntukkan RM160 juta bagi 305 jentera baharu dilengkapi dengan teknologi terkini yang memenuhi piawaian alam sekitar global termasuk enjin generasi terkini yang mengurangkan pelepasan gas berbahaya.

Jadi bagi kami ini komitmen untuk melabur dalam jentera moden bagi memastikan kami dapat melaksanakan kerja dengan cara paling efisien."

“Sebanyak 305 unit itu untuk kita punya tiga konsesi area sekarang iaitu Wilayah Persekutuan WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang. Ini adalah komitmen kami untuk terus melabur supaya kami dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Alam Flora Wajah Baharu oleh Pengerusi Alam Flora Tan Sri Abu Kassim Mohamed di sini hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi Eksekutif Malakoff Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Badrulhisyam berkata pengenalan pakaian seragam baharu pula menunjukkan komitmen Alam Flora untuk memastikan keselamatan dan profesionalisme yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja 3D iaitu Kotor, Bahaya dan Sukar.

“Direka dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan, pakaian seragam ini akan membantu mereka menjalankan tugas dengan lebih selamat dan berkesan.

“Seragam baharu ini juga melambangkan komitmen untuk memartabatkan status rakan sekerja kami ‘wira tidak didendang’ dan mencerminkan penghargaan atas dedikasi mereka dalam memastikan komuniti kita bersih dan selamat.” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pengenalan aplikasi digital “Recyclink” antara langkah inovatif pendigitalan untuk aktiviti kitar semula dan kelestarian alam.

“Aplikasi ini akan mempertingkatkan interaksi dengan pelanggan atas talian serta memudahkan lagi orang ramai untuk menjalankan aktiviti kitar semula secara tanpa tunai berserta mata ganjaran. Ini juga dapat mengurangkan pengunaan kertas secara fizikal,” katanya.

Abu Kassim pula berkata Alam Flora kini mengorak langkah positif menerusi tansformasi “Wajah Baharu” dalam menaik taraf penyelesaian pengurusan sisa pepejal dan pengurusan alam sekitar yang lebih menyeluruh, cekap dan setanding dengan piawaian antarabangsa.

“Transformasi ini bukan sahaja menguntungkan orang ramai dengan peningkatan dari segi mutu perkhidmatan tetapi juga alam sekitar kita dengan penggunaan aset jentera pengurusan sisa pepejal terkini yang enjinnya lebih mesra alam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan