AM

TIGA NELAYAN DIKHUATIRI HILANG DITEMUKAN SELAMAT

17/10/2024 04:42 PM

CHUKAI, 17 Okt (Bernama) -- Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di perairan Kemaman pada Ahad lepas ditemukan selamat pagi tadi, kata Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim.

Beliau berkata mangsa ditemukan oleh bot nelayan tempatan di lokasi 25 batu nautika Tenggara Kuala Kemaman di perairan Kuantan dan pihaknya menerima panggilan daripada ahli keluarga mangsa kira-kira 5.30 pagi tadi yang memaklumkan berkaitan penermuan itu. 

"Mangsa ditemukan selamat oleh bot nelayan Pahang yang sedang menangkap ikan berdekatan lokasi tersebut. Sejurus terima panggilan saya telah mengarahkan bot Perkasa 49 untuk ke lokasi penemuan.

“Bot dinaiki kesemua nelayan itu dipercayai mengalami kerosakan bateri," katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.

Muhammad Faisal berkata seorang daripada mangsa iaitu tekong bot Mokhtar Yusof, 69, yang demam  dibawa pulang menaiki bot Perkasa 49. 

Bot yang rosak bersama dua lagi mangsa Mohd Syukri Mokhtar, 46, dan Mohd Nasir Yusoff, 46, telah ditunda menggunakan bot nelayan lain pada 12 tengah hari tadi dan dijangka tiba di Jeti Pangkalan Hadapan Zon Maritim Kemaman kira-kira 4 petang.

"Bot Perkasa 49 yang membawa Mokhtar tiba di Jeti Pangkalan Hadapan Zon Kemaman kira-kira 10.50 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Mokhtar yang ditemui pemberita berkata beliau bersama anaknya Mohd Syukri dan adiknya Mohd Nasir bersiap sedia untuk pulang pada 4 pagi Selasa selepas mendapat jumlah tangkapan agak lumayan.

Bagaimanapun, bateri bot rosak menyebabkan mereka terkandas dan terpaksa menyalakan obor yang dihasilkan daripada kain buruk bagi mengelak dilanggar kapal memandangkan lokasi berkenaan merupakan laluan kapal.

"Dalam kegelapan ada beberapa kapal besar yang lalu-lalang tapi mereka mungkin tidak sedar keadaan kami yang dalam kesusahan. 

“Kami mengopak kayu pada bahagian atas bot untuk digunakan sebagai bahan bakar bagi memasak mi segera kerana sudah kehabisan beras," katanya yang sudah lebih 50 tahun bekerja sebagai nelayan.

Mokhtar berkata pada malam tadi beliau ternampak kelibat sebuah bot nelayan tempatan yang melalui kawasan berkenaan dan tanpa berlengah terus menyalakan suar kecemasan bagi menarik perhatian bot itu.

"Alhamdulillah kira-kira 1 pagi nelayan itu datang ke bot kami dan memberikan roti serta makanan lain. Mereka juga cuba mengecas bateri bot tetapi tidak berhasil," katanya.

Mokhtar berkata kejadian itu tidak mematahkan semangat untuk turun ke laut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan