AM

YAYASAN RESTU BAKAL LANCAR PROJEK 1 JUTA WAKAF AL-QURAN PADA PAMERAN GPU DI LONDON

17/10/2024 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Yayasan Restu akan memeterai perjanjian dengan Waqf Project bagi melancarkan Projek Wakaf 1 Juta Al-Quran bagi United Kingdom (UK) pada Pameran Global Peace and Unity (GPU) ke-7 di ExCeL London pada 19 dan 20 Okt ini.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata inisiatif itu menyasarkan untuk mengedar sejuta naskhah al-Quran di seluruh UK bagi meningkatkan capaian dan pemahaman terhadap kitab suci itu dalam komuniti berbilang kaum di negara tersebut.

“Komuniti di UK merasakan bahawa al-Quran yang kami terbitkan sesuai, menarik dan permintaannya sangat tinggi. Untuk itu, kami bekerjasama, kami akan mencetak al-Quran di Nasyrul Quran dan perkara penting adalah untuk mengumpul dana.

"Mereka menghargainya kerana terjemahan yang kami lakukan berkualiti tinggi. Ramai ulama di UK telah meneliti dan berpuas hati dengan terjemahan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Latif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran berkata inisiatif itu selari dengan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencetak sejuta naskhah al-Quran bagi edaran di seluruh dunia.

"Impak pengedaran sejuta al-Quran yang dimulakan oleh Perdana Menteri telah memberikan kesan mendalam kepada komuniti di seluruh dunia. Ini adalah kesinambungan daripada usaha tersebut," katanya.

Projek itu katanya akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

Yayasan berkenaan bakal mempamerkan hasil kerja sepanjang lebih 30 tahun penubuhannya termasuk karya seni unik dari Malaysia, terjemahan al-Quran serta artifak berkaitan Islam.

“Mereka mengundang kami untuk mengadakan pameran serta melancarkan projek Wakaf Al-Quran ini. Biasanya, kehadiran pengunjung di Pameran Global Unity sekitar 50,000 hingga 100,000 orang dalam tempoh dua hari," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan