DUNIA

PERMINTAAN EKSTRADISI INDIA KEPADA KANADA TIDAK DILAYAN - JURUCAKAP

17/10/2024 09:21 PM

NEW DELHI, 17 Okt (Bernama-Xinhua) -- India mengemukakan 26 permintaan ekstradisi kepada Kanada, termasuk permintaan bagi individu dikehendaki atas jenayah yang dilakukan di India, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan Kanada setakat ini, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India, Randhir Jaiswal pada Rabu.

Kenyataan itu dibuat susulan pertikaian diplomatik terbaharu antara kedua-dua negara, yang menyaksikan India memanggil pulang semua diplomatnya termasuk pesuruhjaya tinggi dari Kanada, lapor Xinhua.

India juga mengusir enam diplomat Kanada yang berkhidmat di New Delhi, mengarahkan mereka meninggalkan negara itu selewat-lewatnya Sabtu ini.

Pertikaian diplomatik semakin memuncak selepas Kanada menuduh diplomat India terlibat dalam pembunuhan seorang pemimpin pemisah Sikh di Kanada tahun lalu.

Kanada turut meminta siasatan terhadap peranan diplomat India selepas menarik balik kekebalan diplomatik mereka.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan