AM

MODUL KURSUS PRAPERKAHWINAN PERLU DITAMBAH BAIK - RAJA MUDA PERLIS

17/10/2024 04:18 PM

KANGAR, 17 Okt (Bernama) -- Modul Kursus Praperkahwinan yang diguna pakai ketika ini perlu ditambah baik dengan memasukkan kewajiban tanggungjawab nafkah dalam keluarga dan liabiliti perundangan sekiranya komitmen itu diabaikan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah penjelasan mengenai peruntukan undang-undang berkaitan pengabaian nafkah juga perlu diberikan penekanan.

Baginda bertitah pengabaian nafkah merupakan antara faktor keretakan institusi kekeluargaan dan secara tidak langsung akan memberikan impak negatif kepada masyarakat dan negara.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada agensi-agensi kerajaan, swasta dan institusi agama yang berkaitan untuk melipatgandakan aktiviti yang boleh menyemarakkan lagi semangat cintakan keluarga dan menyemai sikap tanggungjawab dalam sesebuah rumah tangga terutamanya dalam menyediakan nafkah yang mencukupi,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa berkenan merasmikan Karnival Literasi Undang-Undang Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) 2024 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Baginda bertitah agama Islam telah mengatur asas-asas yang kukuh dalam membentuk institusi keluarga antaranya aspek tanggungjawab dalam keluarga iaitu penyediaan nafkah yang mencukupi. 

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah perbicaraan kes-kes tuntutan nafkah hendaklah diberikan keutamaan dan diselesaikan dengan kadar segera dan para hakim syarie, peguam syarie dan pegawai di BSK diseru agar memberikan perhatian dan keutamaan dalam hal itu.

Selain itu, baginda bertitah perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah mestilah jelas dan mudah untuk dilaksanakan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang yang ada seperti perintah potongan pendapatan dan seumpamanya.

“Para hakim syarie, peguam syarie dan pegawai BSK hendaklah melaksanakan tugas dengan penuh integriti dalam konteks penguatkuasaan perintah nafkah dengan berdasarkan hukum syarak dan peruntukan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006 dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2006,” titah baginda.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan