AM

SMC, SAMSUNG MALAYSIA JALIN KERJASAMA UNTUK PROGRAM KESIHATAN 'TIME TO MOVE'

17/10/2024 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) dengan kerjasama Samsung Malaysia Electronics melancarkan program kesihatan 90 hari "Time to Move" untuk membimbing peserta dalam perjalanan kesihatan holistik.

Menurut SMA dalam kenyataan program berkenaan yang dimulakan dengan pemeriksaan tubuh badan dan berakhir dengan penilaian akhir, memperkasakan peserta untuk mengambil tanggungjawab ke atas kesihatan mereka dengan menyediakan alatan, bimbingan profesional dan sokongan konsisten untuk tempoh 90 hari, bagi memastikan penambaikan berterusan dalam kesihatan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata menerusi program tersebut yang menerima lebih 200 pendaftaran sejak 3 Okt, pusat kesihatan itu menyasarkan untuk menggalakkan individu menguruskan kesihatan mereka secara bermakna dan lestari.

"Program 'Time to Move' mencerminkan komitmen kami terhadap penjagaan kesihatan holistik, bermula dengan pemeriksaan tubuh bagi membantu peserta memahami tahap kesihatan mereka, dan ditamatkan dengan penilaian akhir yang menunjukkan pencapaian mereka.

"Ia bukan sekadar menilai tahap kesihatan pada peringkat awal, tetapi juga untuk melihat perubahan dalam tempoh 90 hari bagi menjadi versi diri anda yang lebih sihat," katanya.

Dr Seow menjelaskan program itu dibangunkan untuk individu berumur 18 tahun dan ke atas yang mahu meningkatkan tahap kesihatan mereka dan tidak mengambil sebarang ubat.  

Beliau berkata peserta akan bermula dengan saringan kesihatan menyeluruh di Sunway Wellness Centre termasuk melakukan ujian InBody dan ujian darah untuk menetapkan metrik kesihatan utama dan untuk bulan-bulan berikutnya, mereka perlu mengambil bahagian dalam siri cabaran kesihatan yang menarik serta ceramah kesihatan oleh pakar kesihatan.

"60 peserta (daripada 200 yang mendaftar) telah dipilih untuk memulakan perjalanan yang mengujakan ini. Peserta yang terpilih ini akan menerima jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch7 untuk merekodkan aktiviti harian, memantau kalori yang dibakar, komposisi tubuh dan mengukur kualiti tidur mereka.

"Cabaran bulanan yang memfokuskan pada aktiviti fizikal dan skor tidur akan memastikan peserta tetap bermotivasi manakala profesional penjagaan kesihatan akan memberikan pandangan dan panduan secara berkala berdasarkan perkembangan mereka," katanya.

Dr Seow berkata selain cabaran fizikal, program itu turut merangkumi sesi senaman berkumpulan yang dipimpin pakar bagi memastikan peserta terus bersemangat dan melibatkan diri sepanjang perjalanan mereka.

Beliau berkata peserta akan menjalani pemeriksaan akhir untuk membandingkan pencapaian dan meraikan kemajuan mereka selepas 90 hari.

Peserta dengan pencapaian terbaik akan membawa pulang sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy Z Flip6 dan pakej percutian tiga hari dua malam untuk dua orang di The Banjaran Hotsprings Retreat, bernilai RM10,000. 

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Perniagaan Pengalaman Mudah Alih, Samsung Malaysia Electronics KM Liew berkata syarikat itu sentiasa berusaha memacu inovasi dalam pemantauan kesihatan dengan menawarkan alatan canggih menerusi penjejakan tidur, latihan kecergasan atau cerapan pemakanan.

"Program kesihatan 90 hari Time to Move ini mencerminkan komitmen kami untuk membantu pengguna mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai tahap kesihatan mereka dan membuat pilihan gaya hidup yang positif dan termaklum,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan