AM

SINERGI SEKTOR PENDIDIKAN DAN INDUSTRI PENTING PERSIAP PELAJAR HADAPI TUNTUTAN INDUSTRI

17/10/2024 10:46 PM

KUANTAN, 17 Okt (Bernama) -- Pendekatan sinergi antara sektor pendidikan dan industri sangat penting untuk menghasilkan pelajar yang kompeten menerusi pengalaman pekerjaan selain mempersiapkan mereka dalam menghadapi tuntutan industri.

Pengerusi Holiday Villa Hotels & Resorts Groups Tan Sri Datuk Azman Shah Haron berkata langkah itu yang merupakan amalan industri sekian lama adalah bagi menyediakan peluang latihan pekerjaan sebenar dan memberikan lebih nilai tambah apabila pelajar menjalani latihan itu di luar negara. 

Bertitik tolak dari itu, beliau berkata Holiday Villa menggerakkan projek rintis bersama politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) untuk menghantar seramai 40 pelajar dalam bidang perhotelan bagi menjalani latihan industri di Holiday Villa Hotel & Residence, Doha, Qatar pada 2022.

Beliau berkata projek rintis tersebut dianggap berjaya apabila pelajar tidak hanya memperoleh kemahiran teknikal malah berupaya menangani kerumitan perbezaan budaya dan tuntutan industri hospitaliti yang dinamik, sekali gus memiliki nilai kebolehpasaran tinggi dan menjadi rebutan majikan. 

“Kerjasama antara sektor pendidikan dan industri merupakan elemen penting dalam memastikan graduan yang dihasilkan benar-benar bersedia untuk menyumbang kepada ekonomi negara dan bersaing di peringkat global. 

“Kami di Holiday Villa berbangga dapat memainkan peranan dalam pembangunan tersebut. Apatah lagi, apabila habis sahaja mereka menjalani latihan di Qatar, ramai majikan dalam bidang perhotelan ingin menggajikan mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melancarkan E-Book Koleksi Kajian Kes Latihan Industri, Work-Based Learning (WBL) dan On Job Training Pelajar POLYCC ke Holiday Villa Hotel & Residence, Doha, Qatar di Holiday Villa Cherating di sini hari ini. 

Menurutnya, pendedahan dunia pekerjaan sebenar kepada pelajar selama tiga bulan di sana adalah amat bernilai kerana ketika itu Holiday Villa di Doha, Qatar menerima jumlah pelanggan agak tinggi termasuk pemain bola sepak profesional susulan penganjuran Piala Dunia.

“Mereka diberikan peluang untuk melayan dan menyediakan menu kepada pemain bola sepak dunia seperti Argentina dan pengalaman itu sangat mahal dan ini ialah komitmen kami dalam melahirkan lebih ramai pelajar yang memenuhi tuntutan industri,” katanya. 

Berhubung E-Book Koleksi Kajian Kes Latihan Industri, beliau berkata ia merupakan himpunan kajian kes dan pengalaman pelajar yang menjalani latihan di luar negara sebagai pembuktian projek rintis berkenaan berjaya selain manifestasi visi dan cita-cita pelajar terlibat.

“Sama ada kita akan terus hantar lagi pelajar ke sana, ia bergantung sekiranya ada lagi program besar seperti sebelum ini (seperti) Piala Dunia di Doha. Pelajar akan mendapat lebih banyak manfaat apabila ada program besar begini,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Akademik Politeknik Metro Kuala Lumpur Dr Safiza Alfian Yusof berkata peranan industri tidak boleh dipandang remeh kerana menerusi kerjasama bersama mereka akan melangkaui teori dan memberi pelajar peluang mengenali dunia pekerjaan sebenar. 

“Kerjasama ini bukan sekadar program latihan tetapi satu pembelajaran seumur hidup bagi pelajar...dunia kerja ialah satu proses pembelajaran, penyesuaian dan pertumbuhan yang berterusan," katanya sambil menambah penting untuk terus memperkukuh kerjasama dan memperluas program tersebut.

Sementara itu, Azman turut melancarkan kempen ‘Let Us Manja U’ yang bertujuan meningkatkan pengalaman ahli pasukan resort berkenaan, akan diperluas ke semua hotel Holiday Villa.

"Untuk lebih tiga dekad, program MANJA telah menjadi program utama yang menjadikan Holiday Villa istimewa. Dengan evolusi baharu ini, kami terus menjanjikan untuk terus menyediakan penjagaan bersifat peribadi sambil meraikan tradisi tempatan dan nilai budaya serta menerima pakai dasar ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) selain inisiatif kesejahteraan untuk kedua-dua tetamu dan pasukan kami yang berdedikasi," katanya.

-- BERNAMA

 

Pahang, hotel, industri, kerjasama, politeknik

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan