EKONOMI

MIDA LULUS 12 PROJEK PELABURAN PUSAT DATA BERNILAI RM90.2 BILION DARI 2021 HINGGA JUN 2024

17/10/2024 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 12 projek pelaburan pusat data yang merangkumi aktiviti pusat data, pengkomputeran awan, dan pengehosan data dengan pelaburan RM90.2 bilion sepanjang tempoh 2021 hingga 30 Jun, 2024.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata daripada jumlah yang diluluskan, enam projek dengan pelaburan berjumlah RM68.9 bilion termasuk empat di Johor, dan masing-masing satu di Selangor dan Kuala Lumpur, telah siap dan beroperasi,

“Manakala enam projek lagi sedang dalam pelbagai peringkat perancangan atau pembinaan iaitu satu projek di Negeri Sembilan, dua projek di Selangor dan tiga projek di Johor,” kata MITI menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

MITI berkata demikian sebagai menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang bertanyakan mengenai jumlah pusat data yang telah, sedang, dan akan dibina di negara ini mengikut negeri serta langkah-langkah kementerian untuk memastikan penggunaan air dan tenaga bagi pusat data ini mematuhi piawai kemampanan

Kementerian itu berkata kerajaan amat menggalakkan penggunaan sumber tenaga boleh baharu, peralatan cekap tenaga dan air untuk memastikan semua pusat data di Malaysia beroperasi dengan efisien dan mampan di samping memastikan keterjaminan bekalan elektrik dan air negara dikawal serta digunakan secara efektif.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan penggunaan air dan tenaga bagi pusat data mematuhi piawai kemampanan.

Antaranya adalah dengan memperkenal dan melaksanakan garis panduan pembangunan mampan bagi pusat data, menggalakkan penggunaan sumber tenaga boleh baharu dan melaksanakan Program Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS)

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan