JENAYAH & MAHKAMAH

ENAM DITAHAN TERLIBAT SINDIKET PELABURAN "KAKAUE", KERUGIAN CECAH RM18 JUTA

18/10/2024 10:18 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Polis menahan enam rakyat tempatan disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan “Kakaue" melibatkan nilai kerugian RM18 juta melalui beberapa serbuan di Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Johor. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam serbuan bermula 7 hingga 11 Okt itu, empat lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 41 tahun ditahan. 

Beliau berkata kesemua suspek berperanan sebagai pemilik syarikat keldai untuk menerima wang pelaburan daripada mangsa-mangsa yang menyertai skim pelaburan berkenaan. 

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini mengiklankan tawaran pelaburan melalui aplikasi media sosial Facebook dengan menggunakan nama Syarikat Kakaue yang kononnya berperanan sebagai broker pelaburan kripto.

“Mangsa yang berminat akan dimasukkan ke dalam group Whatsapp dan diterangkan perihal pelaburan itu, kemudian mangsa akan diminta memuat turun aplikasi pelaburan Kakaue dan mendaftar menjadi ahli,” katanya pada sidang media di sini semalam. 

Beliau berkata setelah mendaftar mangsa perlu menghubungi pusat khidmat pelanggan untuk mendapatkan arahan bagi membuat pembayaran wang pelaburan kepada beberapa akaun syarikat. 

Melalui aplikasi yang dimuat turun, mangsa boleh melihat pelaburan mereka menjana keuntungan namun apabila ingin membuat pengeluaran pihak syarikat akan memberikan pelbagai alasan. 

Ramli berkata setakat ini pihaknya menerima sejumlah 50 laporan polis di seluruh negara dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Ramli turut mengumumkan kejayaan jabatan berkenaan menahan sembilan individu dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan dalam talian melalui satu operasi di sebuah kediaman di ibu negara.

Dalam serbuan pada 9 Okt lepas itu, enam lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia lingkungan 17 hingga 31 tahun ditahan di sebuah kondominium dipercayai dijadikan pusat panggilan bagi kegiatan sindiket berkenaan.

“Melalui pemeriksaan yang dijalankan, sindiket ini telah beroperasi sekitar tiga bulan dan didapati terlibat dalam kegiatan tawaran kerja secara dalam talian dengan sasaran mangsa dalam kalangan warga United Kingdom,” katanya. 

Turut dirampas dalam serbuan itu lima set komputer, lima laptop, 18 telefon bimbit, satu wifi router, satu buku catatan dan satu kunci bersama kad akses. 

Beliau berkata kesemua ahli sindiket yang terlibat diberikan gaji sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan serta dilatih cara-cara bekerja selain turut dibekalkan skrip untuk dihafal dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan