EKONOMI

MIDA DI LANDASAN UNTUK CAPAI MATLAMAT PELABURAN HIJAU RM2.5 BILION DI IGEM 2024

18/10/2024 10:24 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran RM2.5 bilion pelaburan daripada peneraju pelaburan hijau pada Pameran dan Persidangan Antarabangsa Produk Eko & Teknologi Hijau Malaysia (IGEM) 2024.

Memandangkan Malaysia akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN menjelang 2025 pada 11 Okt 2024, negara sedang bersedia untuk memainkan peranan utama dalam menggalakkan pembangunan kelestarian di rantau ini.

Tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' mencerminkan keperluan mendesak untuk satu dasar yang mampu menangani cabaran segera dan jangka panjang termasuk perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar serta ketidaksamaan sosial.

Kepimpinan Malaysia telah menekankan komitmen ASEAN ke arah menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan lebih mampan, visi yang sejajar dengan kepentingan pelaburan mesra alam yang semakin meningkat untuk pertumbuhan ekonomi dan daya tahan rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata peneraju pelaburan itu termasuk tujuh syarikat telah menyaksikan pemeteraian lima perjanjian dengan Solarvest Group dan rakan kongsinya sebagai sebahagian daripada pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), memfokuskan pada memajukan inisiatif tenaga hijau, projek tenaga boleh baharu (RE) serta usaha kemampanan di Malaysia.

“Pertukaran ini, dengan nilai pelaburan terkumpul melebihi RM1 bilion dalam beberapa aspek ekosistem hijau seperti latihan dan penyelidikan, pembangunan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), pembiayaan mesra alam serta ladang solar bersedia untuk memberi impak yang besar kepada landskap teknologi mesra alam Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Antara syarikat itu ialah Greenrock Energy Co Ltd, Atlantic Blue Sdn Bhd, Wezmart International Bhd dan UKM Pakarunding Sdn Bhd.

Acara itu turut menampilkan pengumuman empat projek mesra alam berkualiti yang diluluskan oleh MIDA bagi tempoh Januari hingga Jun 2024, dengan jumlah pelaburan gabungan bernilai RM1.82 bilion.

Keempat-empat projek, dengan nilai pelaburan melangkaui RM100 juta, mewakili beberapa tuas Strategi Pelaburan Hijau (GIS) seperti RE dan mobiliti hijau, yang menekankan komitmen MIDA dalam merangsang pembangunan lestari di Malaysia.

Projek terbesar datang daripada Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd yang bernilai RM1.4 bilion untuk kenderaan cekap tenaga termasuk kilang kenderaan penumpang elektrik dan Asiabina Solar Sdn Bhd, bernilai RM200 juta membabitkan kilang Fotovoltan Suria Berskala Besar (LSSPV).

Dianjurkan secara bersama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) serta Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), IGEM 2024 telah diadakan mulai 9 hingga 11 Okt 2024, di bawah tema 'Race Towards Net Zero: Regional Leaddership for Climate Urgency'.

Acara itu menarik 48,000 peserta dan 480 peserta pameran dari 48 negara, menyasarkan petunjuk perniagaan yang dianggarkan berjumlah RM4.8 bilion.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata IGEM 2024 sedang bersiap sedia bagi mengesahkan statusnya sebagai acara perdagangan utama untuk teknologi hijau dan penyelesaian eko di Asia Tenggara.

MIDA, sebagai rakan kongsi strategik IGEM sejak lima belas tahun lalu, telah memainkan peranan penting dalam memacu pelaburan mesra alam yang menyumbang kepada acara itu.

“Melangkah ke hadapan, kita perlu menekankan pelaburan seperti ini. Acara ini penting dalam memajukan kemampanan dan teknologi hijau kerana kerajaan menyasarkan untuk mencapai sasaran RM300 bilion dalam pelaburan mesra alam menjelang 2030, menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap tenaga hijau,” katanya.

Beliau menambah Malaysia amat berdedikasi terhadap usaha global dalam menangani perubahan iklim dan komited untuk mengurangkan keamatan pelepasan gas rumah hijau (GHG), dengan matlamat bagi mencapai pelepasan Sifar Bersih menjelang 2050.

Pelan induk utama, seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Negara (NETR) serta Strategi Pelaburan Hijau (GIS) yang baru dilancarkan, memainkan peranan penting dalam strategi Malaysia untuk mengembangkan kapasiti RE.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada matlamat Malaysia ke arah mencapai 70 peratus RE menjelang 2050, sejajar dengan objektifnya yang lebih luas untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar seawal 2050.

Oleh itu, Sikh Shamsul Ibrahim berkata MIDA, sebagai Agensi Penggalakan Pelaburan pusat Malaysia, adalah penting dalam menjadikan Malaysia hab hijau utama menjelang 2030.

 

Pelaburan Hijau

 

Sikh Shamsul Ibrahim menjelaskan dari Januari hingga Jun 2024, MIDA telah meluluskan 399 projek mesra alam di bawah Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan insentif Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE), dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.02 bilion.

“Daripada itu, 391 membabitkan projek RE yang kebanyakannya dikuasai solar, menyumbang RM887.4 juta dalam pelaburan, manakala baki lapan projek tertumpu kepada kecekapan tenaga dengan nilai pelaburan keseluruhan berjumlah RM130.6 juta,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan