AM

PENDARATAN IKAN DI LABUAN CECAH 2,409 TAN METRIK DALAM 10 BULAN PERTAMA 2024

18/10/2024 02:25 PM

LABUAN, 17 Okt (Bernama) -- Sektor pendaratan ikan di Labuan menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dalam tempoh 10 bulan pertama 2024 iaitu berjumlah 2,409 tan metrik bernilai RM9.8 juta.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan Fadhilah Azib berkata walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding tahun lepas, jumlah itu memperlihatkan daya tahan dan produktiviti industri perikanan tempatan yang memberikan sumbangan ketara kepada keselamatan makanan dan ekonomi pulau itu.

“Kebanyakan tangkapan termasuk pelbagai spesies seperti tuna, siakap, mackerel, ikan merah, kerapu, dan pomfret yang menjadi antara spesies paling dicari untuk kegunaan tempatan dan eksport.

“Ikan yang didaratkan tahun ini juga dilaporkan memenuhi keperluan piawaian kesihatan dan keselamatan untuk pasaran domestik serta antarabangsa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata industri perikanan di Labuan menjadi komponen penting dalam ekonomi tempatan, menawarkan peluang pekerjaan dalam pemprosesan, pengangkutan dan pemasaran produk makanan laut untuk komuniti tempatan.

Fadhilah berkata konsistensi bekalan ikan membantu mengekalkan kestabilan harga makanan laut selain memastikan kemampuan pengguna tempatan sambil meningkatkan keupayaan eksport. 

“Lokasi strategik Labuan dan jaraknya yang dekat dengan kawasan perikanan menjadikannya antara pusat pendaratan ikan yang penting di Malaysia.

“Usaha sedang dilakukan untuk terus membangunkan amalan perikanan mampan bagi memastikan perlindungan jangka panjang alam sekitar ,” katanya sambil menambah ini termasuk menggalakkan nelayan mengguna pakai teknik penangkapan ikan moden serta mematuhi peraturan untuk mengelakkan penangkapan secara berlebihan.

“Ketika Labuan terus mengembangkan operasi perikanannya, pihak berkepentingan optimis bahawa pulau ini bukan sahaja mampu mencapai sasaran tahunan malah berupaya mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam industri makanan laut Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan