JENAYAH & MAHKAMAH

PEMANDU KERETA MAUT, DUA PARAH DALAM KEMALANGAN BABIT EMPAT KENDERAAN

18/10/2024 02:28 PM

KOTA TINGGI, 18 Okt (Bernama) -- Seorang pemandu kereta maut manakala penumpangnya dan seorang penunggal motosikal cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM56.7 Lebuhraya Senai Desaru, Bandar Penawar, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata kemalangan pada 7.10 malam itu berlaku apabila kereta jenis Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 25 tahun itu dari arah Johor Bahru telah memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan kereta terbabit bertembung dengan sebuah lori seterusnya menyebabkan lori dipandu lelaki berusia 47 tahun hilang kawalan dan terbabas lalu bergesel dengan sebuah kereta Perodua Alza.

“Kereta Perodua Bezza yang bertembung dengan lori kemudiannya telah berpusing dan berlanggar sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR menyebabkan pemandunya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penumpang Perodua Bezza dan penunggang motosikal yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemalangan berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan