AM

PERHILITAN PERAK, KELANTAN KERJASAMA TANGKAP HARIMAU BAHAM 2 MANGSA

18/10/2024 03:05 PM

IPOH, 18 Okt (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak dan Kelantan melaksanakan gerak kerja untuk menangkap harimau yang disyaki membaham dua mangsa sehingga maut pada Selasa dan Rabu lepas. 

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata satu perangkap dipasang hari ini di kawasan dikenal pasti sebagai tambahan perangkap yang telah dipasang semalam.

"Perangkap pertama telah kita pasang sebelum ini dan hari ini Perhilitan Perak dan Kelantan akan memasang satu lagi perangkap.

"Kita juga ingin menasihati para pengguna laluan JRTB (Jalan Raya Timur Barat) Gerik–Jeli agar tidak berhenti di tepi jalan atas faktor keselamatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Yusoff tidak menolak kemungkinan harimau yang menyerang lelaki tempatan di Bersia, Gerik serta warga Myanmar di ladang cili di Batu Melintang, Jeli dekat Kelantan semalam ialah haiwan yang sama.

Beliau berkata kemungkinan itu berdasarkan kepada kedudukan dua lokasi kejadian terbabit yang melibatkan jarak hanya empat kilometer jika melalui JRTB Gerik–Jeli selain tempoh masa singkat.

"Jarak kedua-dua kejadian maut ini sangat dekat dan kemungkinan daripada pemangsa yang sama memandangkan lokasinya boleh dikatakan bersebelahan sahaja daripada kejadian pertama, Selasa lepas," katanya. 

Yusoff berkata pengguna juga perlu sentiasa berwaspada selain mengelak daripada melakukan provokasi dan salurkan sebarang maklumat berkaitan hidupan liar kepada pihaknya menerusi talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki warga Myanmar maut dengan paha kiri terputus, dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Gerik–Jeli dekat Batu Melintang di Jeli.

Terdahulu, kejadian sama berlaku Selasa lepas apabila seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, maut diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi berdekatan kawasan hutan di KM79.2 JRTB Gerik–Jeli di Bersia, dekat Gerik awal pagi Selasa.

-- BERNAMA 


 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan