EKONOMI

EKSPO FARMASEUTIKAL DAN PENJAGAAN KESIHATAN 2024 MEMACU MALAYSIA SEBAGAI HAB PENJAGAAN KESIHATAN SERANTAU

18/10/2024 03:27 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Ekspo Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2024 yang julung kali diadakan bertujuan meningkatkan industri penjagaan kesihatan Malaysia dengan mempromosikan produk inovatif, memupuk perkongsian dan menarik pelaburan untuk peranti perubatan dan produk-produk farmaseutikal.

Acara itu yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 22-24 Okt ini menampilkan lebih 30 peserta pameran dari India, Malaysia, Australia dan Singapura serta dijangka menarik penyertaan daripada pemain-pemain utama dalam sektor farmaseutikal dan penjagaan kesihatan.

Semasa majlis interaksi dengan ahli penasihat dan media yang diadakan baru-baru ini di MITEC, Ahli Pengasas Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) Datuk Ramesh Kodammal berkata ekspo itu penting bagi memupuk peluang-peluang perniagaan dan kerjasama dalam industri. 

"Acara sulung ini merupakan langkah penting ke arah meletakkan Malaysia sebagai hab sektor farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, memastikan kemampanan ekspo ini pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada Bernama sambil menambah acara itu berdasarkan kejayaan ekspo pertama, Ekspo Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan yang diadakan di Manila, Filipina dengan sokongan AIBC.

Acara yang dianjurkan oleh Genesis Global Exhibitions dan Ace Group dengan kerjasama AIBC, bertujuan untuk menarik syarikat-syarikat farmaseutikal dan penjagaan kesihatan ke Malaysia. Pembeli dijangka dari Iraq, Palestin, Iran, Qatar, Arab Saudi, Jepun, Indonesia, Belanda dan Vietnam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor menekankan sumbangan USIM kepada kemajuan perubatan, khususnya dalam penyelidikan perubatan yang patuh syariah.

Beliau berkata pentingnya pensijilan halal bagi vaksin dan ubat-ubatan di Malaysia.

“USIM menumpukan kepada penyelidikan dalam penyelesaian teleperubatan dan e-kesihatan, terutamanya untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar dan yang kurang mendapat perkhidmatan. Kami juga bekerjasama rapat dengan rakan industri seperti Pharmaniaga dan Duopharma untuk membawa penyelidikan akademik ke pasaran,” katanya.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata ekspo itu mempunyai kaitan dengan sektor penjagaan kesihatan tempatan.

"Produk penjagaan kesihatan yang inovatif adalah penting untuk memastikan kos mampu milik bagi hospital swasta dan awam. Pameran ini akan menunjukkan teknologi baharu yang boleh memberi manfaat kepada pesakit di Malaysia," katanya.

Pengerusi Alternatif AIBC Nivas Ragavan yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Selangor dan Kuala Lumpur (KLSICCI) berkata ekspo itu akan menjadi salah satu pameran farmaseutikal dan penjagaan kesihatan terbesar di Kuala Lumpur.

“Penyertaan daripada negara ASEAN dan India, dengan nilai perdagangan US$100 bilion dalam perkhidmatan, barangan dan pelaburan, menonjolkan potensi besar untuk kerjasama di rantau ini. Sektor perubatan Malaysia yang berkembang pesat dan pengiktirafannya oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di peringkat global akan memberi nilai kepada pameran ini,” katanya.

Ketua Eksekutif MDA Dr Muralitharan Paramasua berkata peranan Malaysia sebagai pengeluar utama peranti perubatan, khususnya kateter dan sarung tangan getah adalah penting dalam industri penjagaan kesihatan.

Beliau menekankan peluang yang boleh diperoleh melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan baru-baru ini, yang menumpukan kepada peranti perubatan berketepatan tinggi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan