AM

SEKTOR PEMBINAAN UNJUR PERTUMBUHAN 9.4 PERATUS PADA 2025

18/10/2024 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Sektor pembinaan kekal berdaya tahan apabila diunjurkan mengalami pertumbuhan sebanyak 9.4 peratus pada 2025, didorong penyegeraan pelaksanaan projek infrastruktur strategik.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2025  dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, sektor berkenaan dijangka mendapat manfaat terutamanya daripada aktiviti kejuruteraan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Fasa 2 dan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2.

Laporan itu memaklumkan subsektor bangunan bukan kediaman dijangka terus berkembang disokong oleh permintaan tinggi bagi kemudahan perindustrian hasil daripada realisasi pelaburan diluluskan,  di samping pembangunan kawasan perindustrian baharu seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Selain itu, subsektor bangunan kediaman juga dijangka meningkat disokong oleh permintaan berterusan untuk perumahan mampu milik di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta pembangunan projek baharu oleh sektor swasta,” menurut laporan itu.

Sektor pembinaan dilaporkan meningkat ketara sebanyak 14.6 peratus pada separuh pertama 2024, dengan semua subsektor mencatat pertumbuhan memberangsangkan.

Menurut laporan itu, subsektor kejuruteraan awam kekal kukuh hasil daripada penyegeraan pelaksanaan projek infrastruktur sedang dalam pembinaan termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dengan Singapura serta Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Laporan itu turut menyebut subsektor bangunan kediaman dan bukan kediaman turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor berkenaan yang dipacu oleh peningkatan permintaan rumah mampu milik serta aktiviti ekonomi yang rancak.

“Subsektor aktiviti pembinaan khas turut berkembang disokong oleh projek Tambakan Laut Bahagian Selatan Pulau Pinang serta kerja berkaitan pemasangan elektrik dan sistem paip.

“Sektor ini dijangka meneruskan momentum positif pada separuh kedua 2024 dengan unjuran pertumbuhan dua digit sebanyak 13.7 peratus,” menurut laporan itu.

Penyegeraan pelaksanaan projek infrastruktur menjelang akhir tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan terus menyokong subsektor kejuruteraan awam, menurut laporan itu.  

Laporan setebal 204 muka surat itu turut menyebut pembinaan pusat data terutamanya di Johor dan Selangor serta bangunan perindustrian dijangka mengukuhkan subsektor bangunan bukan kediaman.

“Subsektor bangunan kediaman diunjurkan berkembang dipacu oleh peningkatan permintaan rumah mampu milik selaras dengan inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024.

“Inisiatif itu, antara lain merangkumi pelaksanaan 36 Program Perumahan Rakyat termasuk 15 projek sedia ada yang akan memberikan manfaat kepada 5,100 penduduk serta pembinaan 3,500 unit rumah di bawah Program Rumah Mesra Rakyat dan projek baharu perumahan MADANI,” menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 itu.

Laporan itu menyebut bahawa sektor swasta turut menyumbang kepada pertumbuhan subsektor bangunan kediaman dengan keseluruhan sektor dianggarkan terus berkembang sebanyak 14.1 peratus pada tahun ini.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan