AM

SOKONGAN PINDAAN PERLEMBAGAAN BERHUBUNG KEWARGANEGARAAN CERMIN KEMUAFAKATAN - PM

18/10/2024 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen atas sokongan penuh yang diberikan terhadap Rang Undang-Undang  (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung kewarganegaraan yang diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata perkara itu mencerminkan meningkatnya semangat muafakat dalam kalangan Ahli Parlimen selain mengiktiraf hak wanita dan kanak-kanak.

"Mudah-mudahan semangat ini diteruskan dalam menyokong Belanjawan ini,” katanya sebelum membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat melakar sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga.

Rang undang-undang itu mendapat sokongan 206 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan ketiga  ketika undi belah bahagian. 

Pindaan berkenaan antara lain memperuntukkan hak kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan