AM

BELANJAWAN 2025: HAJIJI SAMBUT BAIK KEUTAMAAN BERTERUSAN TERHADAP SABAH

18/10/2024 09:07 PM

KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 mencerminkan langkah progresif Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kehidupan rakyat yang makmur tanpa menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Menyambut baik keutamaan yang terus diberikan kepada Sabah, Hajiji berkata peruntukan yang dicadangkan sebanyak RM6.7 bilion untuk negeri itu tahun depan, menunjukkan peningkatan 0.45 peratus berbanding peruntukan RM6.67 bilion tahun ini.

"Ia mencukupi untuk meneruskan projek pembangunan semasa tahun terakhir Rancangan Malaysia ke-12 tahun depan," katanya selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga menghargai pengiktirafan Perdana Menteri terhadap hak pembangunan Sabah yang tidak boleh dipertikaikan sepertimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri berkata beliau mengambil maklum keputusan kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kadar Pemberian Khas Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun depan dalam belanjawan itu.

"Sabah memuji tumpuan berterusan kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan wilayah menerusi penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik," katanya.

Hajiji turut mengalu-alukan pengumuman bahawa 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan surat setuju terima dengan nilai kontrak RM9.7 bilion, meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat, Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau.

Pengumuman bahawa kerajaan Persekutuan telah memuktamadkan empat pakej kerja Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion dengan dua pakej sudah dianugerahkan dan baki pakej sebelum hujung tahun ini, sememangnya berita gembira.

Ia termasuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau dan peruntukan untuk membaiki sekolah daif di negeri itu.

Belanjawan 2025 jelas menunjukkan ekonomi Malaysia berada dalam trend menaik dan semakin mengukuh, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan