EKONOMI

OPENGECUALIAN CUKAI PENDAPATAN ENTITI PERDAGANGAN LABUAN DIPERLUAS -- MOF

18/10/2024 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan kepada entiti perdagangan Labuan yang menjalankan aktiviti kewangan Islam, diperluas kepada aktiviti perniagaan takaful Labuan dan aktiviti berkaitan takaful Labuan yang layak, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF berkata ia adalah bagi menarik pelaburan dalam sektor kewangan Islam yang berteraskan teknologi digital di Labuan International Business and Financial Centre dengan tarikh kuat kuasa mulai tahun taksiran 2025 hingga tahun taksiran 2028.

Antara entiti perdagangan Labuan ialah pengendali takaful Labuan dan pengendali takaful semula Labuan dengan aktiviti yang layak adalah perniagaan takaful serta takaful semula yang mematuhi prinsip Syariah melalui pengaturan risiko atau pembangunan produk.

“Bagi pengurus penajaan jamin Labuan atau pengurus takaful penajaan jamin Labuan, aktiviti yang layak ialah menyediakan perkhidmatan pengunderaitan termasuk pentadbiran berkaitan dengan perniagaan takaful Labuan,” MoF berkata demikian dalam lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.

Selain itu ialah pengurus insurans Labuan atau pengurus takaful Labuan menyediakan perkhidmatan pengurusan atau pentadbiran berkaitan dengan perniagaan takaful Labuan.

Di samping itu, entiti lain juga ialah broker insurans Labuan atau broker takaful Labuan yang menyediakan perkhidmatan mengatur perniagaan takaful dan takaful semula Labuan atau menganalisis kewangan.

Bagi kedudukan semasa, pengecualian cukai pendapatan selama lima tahun mulai tahun taksiran 2024 hingga tahun taksiran 2028 diberi kepada entiti perdagangan Labuan yang menjalankan aktiviti kewangan Islam iaitu perbankan digital Islam, bursa digital Islam, syarikat berkaitan ummah dan pengeluar token digital Islam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan