AM

PRASARANA ASAS SABAH, SARAWAK ANTARA TUMPUAN DALAM BELANJAWAN 2025

18/10/2024 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Penyediaan prasarana asas di kawasan kampung, desa dan pedalaman terus diberi tumpuan bagi memberi keselesaan kepada rakyat dengan peruntukan hampir RM2.9 bilion pada tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini meliputi jalan-jalan kampung yang akan dibina dan dibaiki seperti di Kota Belud, Sabah; Pasir Puteh, Kelantan dan Kuala Lipis, Pahang dengan peruntukan hampir RM1.8 bilion.

“Projek bina dan baiki jambatan serta pemasangan dan selenggara lampu jalan kampung diteruskan melibatkan kos dan peruntukan lebih RM350 juta. Bekalan air bersih dan elektrik di Sabah dan Sarawak meliputi 5,150 buah rumah dengan peruntukan hampir RM500 juta.

“Kerajaan juga menyokong kerjasama universiti awam dalam menambah baik prasarana kampung seperti kejayaan projek pemasangan solar di Pulau Tuba oleh Universiti Malaysia Perlis,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini. 

Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan bergerak terus diperbanyak pada tahun hadapan dengan peruntukan RM100 juta bagi memenuhi keperluan masyarakat desa dan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak yang terpaksa menempuh perjalanan panjang untuk keluar.

Perdana Menteri berkata ini termasuk memperluas Perkhidmatan Komuniti Bergerak Sabah Sarawak ke Kampung Pangaraan, Sabah dan Pulau Bruit, Sarawak. 

“Bank Simpanan Nasional (BSN) Bergerak ditambah empat lagi menjadikan 16 buah terutamanya untuk Sabah dan Sarawak bagi memudahkan penyaluran bantuan Kerajaan.

“Klinik Gigi Bergerak ditambah sembilan lagi menjadikan 54 buah di seluruh negara,” kata beliau. 

Bagi aspek pendidikan pula, beliau berkata RM1 bilion diperuntuk bagi menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 44 sekolah baharu mula dibina tahun hadapan antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Kawi, Putatan, Sabah dan Sekolah Kebangsaan Dudong, Sibu, Sarawak, kata beliau. 

Anwar berkata RM100 juta turut disediakan memastikan warung, gerai dan pasar dijamin tahap keselesaan serta keselamatannya pada tahun hadapan, termasuk bagi menyediakan ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan