AM

BELANJAWAN 2025: PULAU PINANG NIKMATI PEMBANGUNAN LEBUH RAYA BERTINGKAT, LRT

18/10/2024 09:10 PM

GEORGE TOWN, 18 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang terus menikmati beberapa projek pembangunan  berkepentingan rakyat menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kesemua projek berkenaan disifatkan sebagai suntikan pembangunan kepada Pulau Mutiara selain merupakan keperluan bagi rakyat di negeri itu.

Anwar hari ini mengumumkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Projek Batu Kawan Industrial Park 3 di Pulau Pinang.

"Selain itu, pengumuman untuk membina sebuah lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bahagian Seberang Perai juga bakal meningkatkan lagi mutu pelbagai perkhidmatan awam sedia ada di UTC @ Komtar.

“Dalam aspek pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) menelusuri semikonduktor kecerdasan buatan (AI) selari dengan status Malaysia sebagai hab semikonduktor dunia. Bagi saya, kelebihan kepada universiti awam itu akan memacu lebih banyak potensi pelaburan ke Pulau Pinang pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menyentuh mengenai agenda pembangunan tanah wakaf oleh agensi Persekutuan, UDA Holdings Berhad (UDA) di Pulau Pinang, Chow berkata kerajaan negeri tiada halangan, malah akan menyokong hasrat tersebut.

Beliau berkata ia selari dengan permintaan yang pernah diutarakan oleh beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan di negeri itu untuk membangunkan semula penempatan Melayu serta meningkatkan pegangan hartanah mereka di Pulau Pinang terutama bahagian pulau.

Chow berharap agar pelaksanaan kesemua projek yang diumumkan oleh Anwar disegerakan serta menepati jadual ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan