EKONOMI

CADANGAN TINGKATKAN NILAI WPL, KUKUHKAN DAYA SAING INDUSTRI SAWIT NEGARA - FELDA

18/10/2024 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Cadangan kerajaan MADANI untuk meningkatan nilai ambang levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas buah kelapa sawit dilihat akan mengukuhkan daya saing industri sawit negara, menurut Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  berkata kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang kenaan WPL ke atas buah kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia kepada RM3,150 manakala RM3,650 bagi Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, cadangan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan kepada agensi kerajaan itu dapat memperkukuhkan sektor pertanian, khususnya industri sawit, kata Felda.

“Dengan sokongan belanjawan yang menyeluruh ini, Felda dan peneroka akan terus berusaha keras untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan demi mempertingkatkan mutu kehidupan warga peneroka.

“Felda yakin dengan kerjasama padu antara kerajaan dan agensi-agensi berkaitan, visi untuk mencipta sebuah negara MADANI yang makmur dan rakyat yang sejahtera akan dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2025 turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi Felda, Felcra Bhd dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) kepada RM2.6 bilion daripada RM2.4 billion.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan