AM

KERAJAAN PERKENAL CUKAI KARBON KEPADA INDUSTRI BESI, KELULI, TENAGA MENJELANG 2026

18/10/2024 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan Cukai Karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata cukai itu bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon.

“Hasil daripada cukai ini akan dimanfaat untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, beliau berkata UEM Lestra dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melabur RM16 bilion untuk meningkatkan keupayaan rangkaian transmisi dan pengedaran serta menyahkarbon kawasan perindustrian. 

Menurut beliau ikhtiar akses grid terbuka akan dilaksanakan melalui Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) untuk membolehkan syarikat korporat memperoleh bekalan elektrik daripada penjana penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) pilihan.

Perdana Menteri berkata program khusus yang mengutamakan reka bentuk struktur penjanaan TBB dwifungsi seperti konsep agrivoltaic bakal diperkenalkan bagi mengelakkan kesan negatif loji jana kuasa TBB terhadap pengeluaran bahan makanan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan