EKONOMI

SURAT CARA PERJANJIAN PINJAMAN ATAU PEMBIAYAAN PMKS AKAN DIKECUALIKAN DUTI SETEM SEPENUHNYA

19/10/2024 01:14 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara perjanjian pinjaman atau pembiayaan yang disempurnakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan pelabur melalui platform Initial Exchange Offering (IEO) mulai 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2026.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi meluaskan akses golongan itu kepada pinjaman atau pembiayaan alternatif.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga mencadangkan had amaun pinjaman atau pembiayaan Skim Pembiayaan Mikro bagi tujuan pengecualian duti setem dinaikkan kepada RM100,000 daripada RM50,000 mulai 1 Jan, 2025.

Perdana Menteri berkata kerajaan terus menyokong aktiviti perniagaan badan-badan koperasi termasuk menyediakan modal pusingan.

Dana pembiayaan sehingga RM100 juta disediakan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, kata Anwar.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan