AM

BELANJAWAN 2025: DBKL LAKSANA KAJIAN PEMETAAN UTILITI DI SEGI TIGA EMAS KUALA LUMPUR

19/10/2024 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memanfaatkan peruntukan RM10 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 bagi menjalan kajian pemetaan utiliti di segi tiga emas di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif yang berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan itu berkata, pemetaan utiliti itu penting bagi melihat keadaan di bawah tanah yang mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik yang ada kalanya tidak dipetakan.

“Peruntukan secara terus diberikan kepada DBKL adalah bajet untuk tanah jerlus, sebanyak RM10 juta. Sekurang-kurangnya kita dapat juga menjalankan kajian pemetaan utiliti di segi tiga emas,” katanya kepada Bernama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di jalan-jalan utama sekitar Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai peruntukan RM150 juta bagi menghadapi banjir kilat yang melanda ibu negara dan beberapa bandar lain, beliau berkata pihaknya sudah menghantar permohonan bagi dana sebanyak RM80 juta.

“Sebenarnya, kita dah hantar (permohonan dana) untuk tindakan segera, kita minta RM20 juta manakala untuk jangka pertengahan kita dah minta RM60 juta. Jadi jumlah keseluruhan dana kita minta dalam RM80 juta.

“Tapi apa-apapun, kita faham tidak ada bajet khusus untuk DBKL (bagi banjir) sebabnya (Belanjawan 2025) kata penyaluran segera RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri mengumumkan penyaluran segera sebanyak RM150 juta kepada PBT dan JPS untuk memulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai sebagai langkah segera menghadapi musibah banjir kilat yang melanda ibu kota dan beberapa bandar lain.

Sementara itu, Maimunah berkata pihaknya juga menghargai usaha kerajaan dalam peruntukan lain yang secara tidak langsung melibatkan DBKL, antaranya had nilai sebut harga bagi kerja penyelenggaraan dan penggantian lif melibatkan perumahan rakyat dan kuarters dinaikkan hingga RM1.2 juta. 

“Yang lain seperti peruntukan RM100 juta yang disediakan bagi kemudahan penjaja dan peniaga kecil merangkumi membina gerai-gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di semua PBT seluruh negara dan menaik taraf kemudahan perniagaan di bawah DBKL dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Ini termasuk pembangunan terangkum di Kuala Lumpur bagi membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara oleh Khazanah, kerana DBKL juga termasuk dalam jawatankuasa Khazanah,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan