BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM

60,000 PELAJAR DAPAT MANFAAT FLYSISWA TAHUN DEPAN - MOT

19/10/2024 06:15 PM

KUCHING, 19 Okt (Bernama) --Seramai kira-kira 60,000 pelajar layak untuk mendapat bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan  domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan atau FLYsiswa tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM16.8 juta.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan selain pelajar universiti awam, pelaksanaan inisiatif itu turut melibatkan pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

'“Bantuan ini adalah salah satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak serta Labuan di samping menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

MOT menerima sejumlah RM750 juta menerusi Belanjawan 2025 untuk inisiatif pengangkutan awam, sejajar dengan matlamat kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Sementara itu, MOT memaklumkan bahawa cadangan projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau, Sabah, telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi di bawah Projek Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12, dengan kos berjumlah RM130.53 juta.

Projek itu, antara lain, melibatkan pembesaran terminal lapangan terbang dengan peningkatan kapasiti pengendalian penumpang daripada 1.5 juta penumpang setahun (mppa) kepada 2.5 mppa.

“MOT juga sedang dalam proses pelantikan kontraktor utama dan kerja-kerja fizikal di tapak dijangka bermula pada suku pertama 2025. Projek ini dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Lapangan Terbang Miri juga akan dinaik taraf dengan peningkatan kapasiti terminal daripada 2.0 mppa kepada 3.0 mppa.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan