AM

KEMASUKAN PERCUMA KE TERKL SEMPENA KARNIVAL PENGHIJAUAN MALAYSIA DAN KL GREEN SYMPHONY 2024

19/10/2024 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Orang ramai berpeluang memasuki Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) di sini secara percuma bagi memeriahkan Karnival Penghijauan Malaysia dan Simfoni Hutan Hujan Tahun 2024 (KL Green Symphony 2024) selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata karnival anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) itu diadakan sempena Sambutan Jubli Emas Hutan Simpan Bukit Nanas yang ke-50.

Beliau berkata TERKL mempunyai banyak potensi bagi tanaman pokok dan akan dijadikan salah satu pusat tarikan memandangkan Malaysia bakal mempengerusikan ASEAN tahun hadapan dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Penganjuran karnival ini merupakan salah satu inisiatif untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam memelihara kawasan berhutan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program itu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo Kim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) Dr Ridzwan Bakar dan Ketua Pengarah JPSM Datuk Zahari Ibrahim.

Sementara itu Nik Nazmi berkata kerajaan beriltizam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dengan kawasan hutan dan pokok-pokok, selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Brazil pada 1992, dan ketika ini kawasan berhutan negara adalah sekitar 54.58 peratus atau seluas 18.05 juta hektar.

Beliau berkata Malaysia juga telah mencapai rekod penanaman sebanyak 99,483,068 pokok pada peringkat kebangsaan menerusi Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang bermula sejak 2021 dan menyasarkan tanaman pokok berjumlah 100 juta seluruh negara tahun depan.

Kerajaan melalui Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) turut memberikan potongan cukai kepada entiti yang menaja aktiviti penanaman pokok atau projek kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bagi menggalakkan penglibatan aktif daripada sektor swasta, badan bukan kerajaan, masyarakat dan individu.

Terdahulu Nik Nazmi turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Wakaf Tunai Perkhidmatan Hutan Malaysia antara YWM diwakili Ridzwan dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam diwakili Ching Thoo.

Beliau berkata Wakaf Hutan yang pertama ini akan menjadi antara produk wakaf tunai YWM yang akan digunakan bagi pelaksanaan projek pembangunan kemudahan asas di dalam HSK serta projek atau program pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan HSK.

Beliau berkata sebagai permulaan, dana wakaf yang berjaya dikumpul akan digunakan untuk melaksanakan projek perintis di Hutan Simpan Sungai Besi secara berfasa yang menumpukan kepada pemulihan dan pembangunan kemudahan asas untuk masyarakat setempat.

Sementara itu mengenai Karnival Penghijauan Malaysia dan Simfoni Hutan Hujan Tahun 2024, Zahari dalam ucapannya berkata antara aktiviti yang disediakan ialah aktiviti demonstrasi seperti semaian anak pokok dan penanaman pokok serta demonstrasi Pasukan Elit Perolehan Biji Benih.

Beliau berkata pertandingan kreatif seperti KL Green Symphony di TikTok, pertandingan foto flora dan fauna, serta pencahayaan Canopy Walk pula akan menambah suasana meriah dan menarik minat golongan muda.

Aktiviti Fun Run & Ride, pertandingan sukan dan riadah serta perkhemahan juga akan dianjurkan untuk menggalakkan aktiviti fizikal yang sihat dalam suasana alam semulajadi.

"Pameran Penghijauan Malaysia juga akan berlangsung bagi mempamerkan usaha-usaha negara dalam memelihara kawasan hijau dan paling menarik ialah persembahan muzikal Hutan Hujan Tradisional dan Akustik Moden yang bakal menghiburkan pengunjung sambil menyampaikan mesej cinta alam," katanya.

Beliau berkata ceramah kesedaran awam berbentuk 'pocket talk' turut diadakan bagi peserta mendalami isu-isu berkaitan kepentingan kelestarian alam manakala Seminar Penghijauan Malaysia menjadi platform bagi para penyelidik dan pakar berkongsi pandangan dan idea dengan matlamat membentuk sinergi dalam usaha melestarikan sumber hutan negara.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan