BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI DITAHAN SEJAM SELEPAS SAMUN WARGA ASING

19/10/2024 08:14 PM

JOHOR BAHRU, 19 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan diberkas selepas menyamun warga asing di Jalan Danau, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, dekat sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira sejam selepas kejadian samun, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Beliau berkata insiden itu berlaku ketika mangsa bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan berjalan kaki sebelum disamun suspek yang menunggang motosikal.

“Dalam kejadian berkenaan mangsa hilang sebuah telefon bimbit dan mengalami luka di bahagian siku, kaki kanan serta muka setelah bergelut dengan lelaki itu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan satu rekod orang dikehendaki selain turut positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha, telefon bimbit jenama Vivo dan tiga plastik lut sinar disyaki berisi dadah daripada lelaki terbabit.

Lelaki itu katanya direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan