SUKAN

PDRM SEKAT HAJAT SELANGOR KUTIP TIGA MATA, KEDAH KEJUTKAN TERENGGANU

20/10/2024 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) --Jaringan pemain gantian PDRM FC, Aremu Timothy Oluwaseun pada penghujung permainan menghampakan Selangor FC yang hanya mampu membawa pulang satu mata selepas terikat 1-1 dalam aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam ini.

Keputusan itu turut menyekat momentum hebat skuad Gergasi Merah yang mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam perlawanan liga sebelum ini.

Penyerang import Alvin Fortes meletakkan pasukan pelawat di depan apabila menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-16 sebelum Selangor mensia-siakan beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan yang menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, Selangor yang kekal mendominasi permainan turus buntu dalam usaha menggandakan kedudukan sebelum kealpaan benteng pertahanan di hujung permainan dihukum oleh Oluwaseun yang bijak menghidu ruang untuk meledak gol penyamaan pada masa tambahan.

Keputusan seri itu turut merencatkan misi Selangor yang mengumpul 26 mata di kedudukan kedua untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengutip 31 mata.

Sementara itu, di ALOR SETAR, Kedah Darul Aman FC kembali menemui kemenangan selepas lima perlawanan apabila berjaya mengejutkan pasukan di tempat ketiga Terengganu FC 1-0 di Stadium Darul Aman.

Gol kemenangan skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain itu hadir di hujung masa tambahan separuh masa pertama yang berlanjutan sehingga enam minit apabila Jose Cleyton menanduk masuk sepakan percuma Sony Norde yang gagal diselamatkan Mohd Suhaimi Husin di gawang.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan